PERDANA Menteri dan pemimpin Perikatan Nasional (PN) harus menghentikan obsesi mereka terhadap pilihan raya, gesa pemimpin pembangkang.
Pemimpin pembangkang yang juga bekas Menteri Kabinet itu berkata, negara tidak memerlukan satu lagi Pilihan Raya Umum (PRU) memandangkan masih bergelut untuk membendung penularan Covid-19 dan kesannya terhadap ekonomi.
Justeru, mereka mengingatkan kerajaan supaya mendahulukan rakyat berbanding kuasa.
“Bagi kami yang berada di tempat duduk pembangkang, sejujurnya kami benar-benar berhasrat agar hala tuju negara tahun hadapan dapat ditetapkan semula.
“Pertama, kita harus nyatakan batasan yang jelas mengenai dengan siapa yang boleh atau tidak boleh untuk kita bekerjasama berdasarkan prinsip dan keyakinan yang jelas.
“Kedua, 108 Anggota Parlimen (MP) dalam pembangkang mesti bersatu.
“Walaupun terdapat banyak perbezaan, marilah kita ingat kembali yang kita ini adalah (dan masih lagi!) 108 Ahli Parlimen yang tidak melompat ataupun tewas,” katanya dalam satu kenyataan bersama.
Kenyataan itu dikeluarkan secara bersama oleh Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman;, Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Azis Jamman; Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh; Ahli Parlimen Bakri, Yeo Bee Yin; Ahli Parlimen Selangau, Baru Bian dan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Maszlee Malik.
Turut menyertai kenyataan itu Ahli Parlimen Sungai Buloh, R Sivarasa; Ahli Parlimen Pulai, Datuk Salahuddin Ayub; Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah; Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching dan Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis.
Menurut kenyataan itu, 2020 berjalan dalam suasana yang tidak seperti dibayangkan ketika zaman kanak-kanak malah memaparkan rupa bentuk politik ‘paling hodoh’.
“Namun, ia tidak sesekali akan menghancurkan kita. Ketika kita bakal menyambut 2021, kita masih percaya dan bertekad untuk meneruskan politik yang baik dan yang fokus kepada pembangunan Malaysia,” katanya. – Malaysiapost

