70 peratus setuju terima vaksin Covid-19

0
1

SEBANYAK 70 peratus daripada 212,006 responden terdiri daripada rakyat Malaysia bersetuju menerima vaksin Covid-19. 

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata jumlah itu diperolah hasil kajian daripada ‘Tinjauan Vaksin: Terima Atau Tolak?’ dilaksanakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). 

Beliau berkata, tinjauan yang dijalankan secara atas talian dari 21 hingga 28 Disember lalu juga mendapati 16 peratus daripada responden tidak bersetuju. 

“Terima kasih kepada 212,006 rakyat Malaysia kerana menyertai Tinjauan Vaksin: Terima Atau Tolak?. 

“Tahniah kerana ramai (67%) responden bersetuju untuk menerima vaksin Covid-19. 

“Namun terdapat segelintir responden yang Tidak Pasti (17%) dan Tidak Bersetuju (16%) untuk menerima vaksin Covid-19.

Beliau berkata, KKM memahami kerisauan dan kebimbangan mengenai isu keselamatan, keberkesanan dan kes sampingan vaksin Covid-19. 

“KKM  akan mengambil tindakan sewajarnya termasuk menyalurkan informasi yang tepat dan telus,” katanya.

Kerajaan sebelum ini menandatangani perjanjian pembelian awal vaksin dengan syarikat farmaseutikal, Pfizer bagi membolehkan negara mendapatkan 12.8 juta dos bekalan vaksin Covid-19.

Malah pada 22 November lalu, Malaysia juga telah menandatangani perjanjian dengan fasiliti COVAX untuk mendapatkan vaksin Covid-19 bagi menampung keperluan imunisasi 10 peratus rakyat Malaysia.

Bekalan vaksin dijangka tiba di negara pada suku pertama 2021. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here