Nurul Huda Abhar
TATKALA berada di penghujung 2020, tidak salah sekiranya kembali menyelak beberapa helaian kisah dunia hiburan tanah air yang meraih perhatian ramai dan mendapat liputan hampir semua media arus perdana.
Seawal 10 Februari, kita dikejutkan apabila pelawak terkenal, Abam atau Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Ridzuan, 32, meninggal dunia dalam tidur di kediamannya di Gombak, kira-kira jam 7 pagi.
Berita pemergian Allahyarham Abam disahkan rakan seperjuangan, Achey yang menjadi antara sahabat terawal dimaklumkan mengenainya.
Tidak lama selepas pemergian Allahyarham, bermulalah krisis antara pelawak, Ali Puteh dan kakak iparnya, Nor Hidayah Mohd Ali yang juga balu Abam Bocey.

Bermula dengan temu bual bersama seorang jutawan kosmetik yang bertanya khabar Nor Hidayah, ia merebak sehingga berbalas kes saman difailkan kedua-dua pihak.
Ternyata, isu faraid dan pembahagian harta sangat sensitif kerana ia melibatkan hukum syarak dalam Islam dan apabila bercampur dengan pendapat orang luar itu hanya mengeruhkan lagi konflik sedia ada.
Pergeseran antara Ali Puteh dan Nor Hidayah menghimpunkan rasa simpati netizen terhadap satu-satunya cahaya mata Allahyarham Abam, yang berusia setahun enam bulan dan balunya yang kehilangan tempat bergantung.
Simpati tersebut turut dizahirkan netizen apabila mengetahui penyanyi yang terkenal dengan jolokan ‘raja gelek’, Datuk M Daud Kilau semakin uzur disebabkan mengidap penyakit kencing manis, masalah jantung dan kini kurang pendengaran.
Malah, penyanyi lagu ‘Cek Mek Molek’ itu tidak boleh berdiri lama, dan mengalami kebas kaki, tangan serta sakit pinggang.
Lebih meruntun hati apabila nasib penyanyi veteran itu mendapat perhatian pendakwah bebas, Ebit Lew yang menziarah dan sempat menyuapkan makanan kepada M Daud Kilau.
Dengan keadaannya yang tidak sihat, M Daud Kilau mendapat bantuan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dan penggiat seni tempatan yang menghulur sumbangan bagi mengurangkan beban penyanyi yang banyak berjasa menghiburkan peminat sejak era tahun 60-an lagi.
Berita sedih mengenai kematian artis dan selebriti yang kecundang atas asbab penyakit kanser tidu iaitu Maya Matahari, 43,.serta pelakon Abu Bakar Juah, 72, menghembuskan nafas terakhir selepas menderita kanser usus dan hati.
Selain itu, pengarah siri ‘Gerak Khas’, Yusof Kelana meninggal dunia akibat kanser kulit, dan kematian personaliti televisyen Farit Ismeth Emir, 65 turut dikaitkan dengan penyakit kanser.
Pelakon kacukan Ashraf Sinclair yang meninggal dunia pada usia 40 tahun akibat serangan jantung menjadi perhatian dua negara kerana Allahyarham meneruskan karier lakonan di Indonesia setelah berkahwin dengan Bunga Citra Lestari (BCL).
Perkahwinan, perpisahan artis
Beralih kepada perkahwinan yang boleh dikatakan paling banyak mendapat perhatian tahun ini, iaitu walimatul urus Mira Filzah bersama pasangan, Wan Emir Astar Wan Mohammad Khair-il Anuar yang juga anak Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datin Mastura Mohd Yazid.
Usikan nakal beberapa akaun media sosial yang berkata, keputusan pelakon ‘Pujaan Hati Kanda’ menamatkan zaman bujang telah mematahkan banyak hati jejaka-jejaka di Malaysia.

Memanggil suami dengan panggilan manja ‘Bubu’, sekali lagi Mira menjadi topik perbualan netizen yang dalam berseloroh menyangka pelakon itu memanggil kucing dan ramai yang berkata bahawa peminat masih tidak boleh ‘move on’ dengan kisah percintaan pasangan itu.
Turut menjadi perhatian, penyatuan dua hati pasangan pelakon Zahirah Macwilson dan Aiman Hakim, Emma Maembong sah menjadi isteri kepada juruterbang Muhammmad Shazli, dan tentunya perkahwinan Elly Mazlein bersama ‘papa awan nano’ Azlan Che Noh.
Tidak lupa episod perceraian pelakon Sharnaaz Ahmad dan kakak Neelofa, Noor Nabila serta Sharifah Sakinah dan suami, Alif Adha yang berpisah selepas tidak tinggal sebumbung serta perkahwinan aktres Indonesia Laudya Cynthia bersama Engku Emran yang terlerai selepas mereka sepakat untuk berpisah secara baik.
Peminat juga terkejut apabila pelawak dan usahawan Shuib Sepahtu serta isteri, Siti Sarah Raissuddin dipanggil Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berkaitan kes ‘cuci duit’.
Spekulasi netizen timbul di laman sosial malah berusaha mengorek bukti di Instagram (IG) Shuib yang bergambar bersama beberapa kereta mewah, menyerupai kenderaan disita SPRM milik dalang sindiket itu.
Shuib juga menerima kecaman netizen selepas mengeluarkan kenyataan bahawa golongan penggiat seni juga layak untuk menerima bantuan kerajaan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu.
Penyanyi Black, Tomok dan Achey juga dihentam apabila mahu kerajaan wujudkan bantuan khas bagi golongan artis, sedangkan masih ramai di luar sana golongan kurang mampu, walhal artis kerap menayang gaya hidup mewah di media sosial.
Sementara itu, peminat juga gembira apabila mendengar khabar ‘Siti Aafiyah anak ibu’ akan menjadi kakak tidak lama lagi.
Penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza kini hamil lima bulan anak kedua. Lebih mengujakan apabila bayi lelaki yang bakal dilahirkan adalah kembar kepada Aafiyah.

Embrio kandungan kedua Tokti itu terhasil pada hari dan waktu yang sama dengan Aafiyah menerusi rawatan kesuburan In Vitro Fertilisation (IVF).
Tahun ini dunia dilanda pandemik Covid-19 dan beberapa artis tanah air turut dijangkiti termasuk Puteri Aishah, Ashraf Muslim dan pelakon kanak-kanak Puteri Rayyana Rayqa yang mendapat jangkitan selepas pulang dari penggambaran sebuah drama di Scotland.
Penyanyi Alif Satar juga menjadi pesakit Covid-19, dan susulan itu beberapa artis lain yang berada dalam satu program televisyen yang sama mengambil keputusan untuk membuat ujian swab.
Saat 2020 hampir melabuhkan tirai, muncul episod hubungan pengacara dan pelakon Neelofa bersama pendakwah bebas PU Riz yang dikatakan berantakan.
Neelofa yang kini telah berniqab mengikat pertunangan dengan PU Riz pada 2 November lalu, namun tidak sampai dua bulan ikatan tersebut didakwa menemui titik noktah.

Biarpun kedua-duanya mengunci mulut, namun catatan adik beradik Neelofa di IG Story yang berkongsi kata-kata semangat dan doa menguatkan lagi spekulasi yang timbul. – Malaysiapost
