Siti Fatimah Mohamed Anwar
SUDAH hampir setahun kita dibelenggu kehadiran Covid-19 dengan pelbagai krisis tercetus sepanjang tempoh itu.
Selain aspek kesihatan yang paling teruk terkesan, krisis turut melebar ke segenap sudut baik ekonomi, sosial, pendidikan dan banyak lagi. Boleh dikatakan tidak seorang pun terkecuali merasainya sama ada sedikit atau banyak.
Sepanjang melalui denai krisis dibawa pandemik, setiap daripada kita sememangnya menyumbang peranan sama ada dalam membantu mengekang penularan Covid-19 atau ke arah pemulihan sosial dan ekonomi negara.
Realitinya, slogan ‘Kita Jaga Kita’ menjadi azimat utama dalam menutup peluang virus yang tidak kelihatan itu daripada terus menjangkiti.
Peranan ‘frontliners’ pula baik dalam kalangan petugas kesihatan atau anggota keselamatan memastikan setiap agenda diatur dalam mendepani cabaran ini diterjemah sebaik mungkin.
Tahniah buat semua frontliners kerana sanggup bersengkang mata tanpa mengenal erti penat dan lelah. Semuanya demi memastikan usaha membebaskan rakyat dan negara daripada kekangan pandemik berhasil.
Realitinya di sebalik cabaran, kehadiran pandemik yang sehingga kini menjangkiti lebih 100,000 orang dan meragut lebih 400 nyawa banyak membuka mata kita.
Menelusuri tempoh penularan Covid-19 di negara ini, tiga figura semestinya meniti di bibir rakyat.
Selain Abah yang menjadi jolokan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Pak Long Mail (Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Yaakob) dan Pak Ngah Hisham (Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Dr Noor Hisham Abdullah) antara watak yang akan diingati.
Saban hari sejak lebih 11 bulan lalu, Dr Noor Hisham hampir tanpa gagal, muncul di televisyen untuk menyampaikan maklumat dan perkhabaran terkini Covid-19 kepada rakyat.
Selain medium arus perdana, platform dalam talian juga tidak pernah sepi daripada ciapan dan hantaran Dr Noor Hisham yang sarat dengan maklumat dinanti-nanti rakyat.

Setiap kali muncul di televisyen atau di platform media sosial, tidak pernah lekang di bibir sosok ini, menasihati rakyat untuk bersama-sama berjuang melandaikan lengkung jangkitan.
Ia bukan tugas mudah, namun tanggungjawab paling besar itu terpaksa dipikulnya di saat negara dilanda krisis kesihatan yang dasyat dalam sejarah negara.
Dilaporkan bahawa, sejak Covid-19 melanda negara, tidak pernah ada istilah ‘cuti rehat’ bagi Dr Noor Hisham. Sidang media dilakukan saban hari, selain memenuhi mesyuarat harian laporan wabak.
“Walaupun kita belum menang peperangan ini, kita tidak kalah lagi,” – Ayat itu sering diungkapkan Dr Noor Hisham setiap kali mengakhiri sidang medianya.
Sosok yang sentiasa positif dan tenang ini, sangat berjasa kepada rakyat dan negara. Usaha digerakkan beliau dan kerajaan ternyata tepat apabila berjaya melandaikan lengkung pandemik sebelum ini.
Malah ia turut menjadikan Malaysia diiktiraf sebagai antara lima negara terbaik dunia dalam mengawal wabak itu.
Kecemerlangan itu sekali gus melayakkan KKM dan Dr Noor Hisham menerima pengiktirafan dunia menerusi Anugerah BrandLaureate oleh The Worlds Brands Foundation pada 17 Julai lalu.

Antara lain, beliau juga dipilih sebagai antara tiga doktor terbaik dunia oleh China Global TV Network (CGTN), pengiktirafan tersebut berdasarkan kewibawaan beliau menangani krisis Covid-19.
Jasanya turut mendapat pengiktirafan di tanah air apabila dikuniakan Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah membawa gelaran Tan Sri pada 17 Ogos lalu.
Malah beliau diangkat sebagai Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan baru-baru ini.
Selain Dr Noor Hisham, Pak Long Mail juga antara ‘watak’ utama dalam episod negara memerangi Covid-19.
Sebagai menteri yang bertangungjawab menjaga portfolio keselamatan, seperti Dr Noor Hisham, Ismail Sabri juga akan menyampaikan laporan perkembangan harian PKP.
Selain menunggu pengumuman penting, orang ramai turut ‘ternanti-nanti’ baju apa yang akan dipakai Menteri Kanan Keselamatan itu, memandangkan beliau sering muncul dengan baju batik pelbagai corak dan warna ketika sidang medianya.
Malah, gambar baju batiknya turut disamakan dengan pelbagai jenis makanan sehingga tular di media sosial dan menerima pelbagai komen mencuit hati warga netizen.
Rata-rata netizen mengaitkannya dengan aneka makanan serta minuman seperti kek lapis, jus avokado, air batu campur dan agar-agar.
Menyedari gambar tular itu, Ismail Sabri menjelaskan baju batik itu adalah rekaan Datuk Jovian Mandagie yang juga menantunya.
Keadaan itu sekali gus mengundang kritikan apabila, Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh meminta supaya beliau menghentikan sidang media hariannya sekiranya tiada pengumuman substanstif yang dapat membantu rakyat.
Hannah melalui ciapannya di Twitter berkata, sidang media tidak sepatutnya menjadi tempat untuk mempromosikan baju atau barang pameran di rak.
Menjawab isu berkenaan, Ismail Sabri menegaskan sidang media harian beliau adalah bagi memaklumkan berhubung tindakan kerajaan dalam aspek keselamatan bagi membendung penularan Covid-19.
Katanya, adalah menjadi tanggungjawab beliau memberi maklumat kepada orang awam mengenai tindakan kerajaan termasuk penahanan individu ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Selain Pak Long Mail, ‘Abah’ jolokon diberikan kepada Muhyiddin di media sosial berikutan karakternya yang seakan seorang bapa menasihati anak.
Penyampaiannya dan bahasa yang lebih santai dan bersahaja di dalam setiap sidang media, menampilkan sisi berbeza kepemimpinan beliau berbanding Perdana Menteri sebelum ini.
Selain pelbagai bantuan diumumkan kerajaan bagi membantu rakyat sejak pandemik melanda, antara yang tidak dilupakan termasuk isu ‘rotan’.
‘Abah mahu menggunakan rotan’ – kenyataan yang dikeluarkannya bagi mengingatkan orang ramai yang ingkar terhadap pematuhan PKP berikutan peningkatan kes.
Perdana Menteri menjelaskan hukuman akan dikenakan tanpa mengira pangkat dan darjat mana-mana individu yang melanggar undang-undang.
“Petugas barisan hadapan dari agensi penguatkuasaan akan dikerah semula ke tempat awam untuk memastikan pematuhan. Maaflah jika Abah ini mula menggunakan rotan,” katanya dalam perutusan khas, pada 6 Oktober lalu.

Bagaimanapun ada pihak menyifatkan penggunaan ayat ‘Maaflah jika abah terpaksa merotan’ , menjadi ungkapan yang telah memakan diri sendiri.
Kiasan untuk ‘merotan’ rakyat itu disifatkan ‘tidak serupa bikin’, kerana dalam masa sama ada menteri dalam kabinet Muhyiddin juga yang melanggar peraturan.
Kemarahan orang ramai terhadap Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali yang tidak melalui proses kuarantin wajib selepas pulang dari luar negara antara yang dipertikaikan rakyat terhadap ‘ketegasan’ Muhyiddin itu.
Malah, ia dijadikan modal politik oleh pihak lawan untuk menggambarkan pelaksanaan undang-undang yang bersifat “double standard”.
Itu antara sebahagian sorotan dan peristiwa yang terpahat membabitkan tiga figura Covid-19 negara ini.
Namun, apa jua sejarah dan memori Covid-19 yang terpahat tahun ini, Rakyat jangan lupa bahawa kita masih belum menang.
Peningkatan kes yang semakin naik mencanak-canak kebelakangan ini amat meresahkan.
Benar dulu kita hampir menang, namun kerakusan politik mengheret negara kembali dalam ‘mood’ berwaspada.
Semoga kehadiran vaksin tahun hadapan, memberi harapan dan sinar baharu buat rakyat dan negara. Pergilah Covid-19 dan jangan muncul lagi! -Malaysiapost



