HARIMAU di Hutan Simpan Rasau mengganas apabila membaham tiga ekor lembu peliharaan peneroka Felda Kerteh 4, Ketengah Jaya, Dungun dalam tempoh dua minggu termasuk kejadian terbaru, pada Ahad lalu.
Dalam kejadian itu, sebanyak empat ekor lembu hilang, manakala seekor lagi ditemui mati dengan kesan gigitan di leher.
Seorang penternak, Che Man Abdullah, 68, berkata, lembu yang mati dibaham Pak Belang itu ditemui di kawasan ladang kelapa sawit, kira-kira tiga kilometer dari kandang haiwan ternakan tersebut.
“Lima ekor lembu itu dikesan tidak pulang ke kandang pada Ahad lalu. Lebih menakutkan kami menjumpai ada kesan tapak kaki harimau berhampiran kawasan kandang lembu.
“Kami berasa risau bukan sahaja lembu, tetapi keselamatan diri dan pekerja ladang lain. Usaha untuk menangkap harimau sejak hampir sebulan lalu masih tidak berhasil,” katanya seperti dilapor Kosmo.
Sementara itu, pekerja ladang, Alias Mamat, 57, memaklumkan, anaknya, Mohd Arif Fadillah, 25, menjumpai tapak kaki harimau belang pada pukul 6 petang kelmarin.
“Pada waktu itu, anak saya sedang mengutip buah sawit. Dia yang ketakutan menghubungi saya untuk memaklumkan penemuan tersebut.
“Tapak kaki harimau itu masih basah. Ada dua saiz, satu besar dan satu lagi kecil,” katanya.
Alias berkata, penemuan terbaharu tapak kaki harimau itu ditemui berhampiran kandang lembu ternakan peneroka, kira-kira tiga kilometer dari lokasi kebanyakan lembu ternakan diserang haiwan buas tersebut sebelum ini.
Setakat ini, sebanyak 35 ekor lembu ternakan peneroka Felda Kerteh 4 telah dibaham harimau belang yang dipercayai berasal dari Hutan Simpan Rasau berhampiran. -Malaysiapost
