POLIS akan meningkatkan pemeriksaan dan pemantauan bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) di tempat awam dipatuhi berikutan peningkatan kes Covid-19.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata pihaknya mendapati masih ada masyarakat yang leka dan kurang mengambil berat aspek pematuhan SOP bagi membendung penularan wabak tersebut.
Beliau berkata, tindakan tegas akan diambil ke atas individu yang didapati ingkar peraturan berkenaan.
“Mengambil kira statistik kes baharu positif Covid-19 yang tinggi, PDRM mengingatkan seluruh masyarakat agar sentiasa mengamalkan disiplin kendiri dan mematuhi SOP ditetapkan.
“Sempena cuti hujung tahun dan musim perayaan, ramai mengambil kesempatan pulang ke kampung halaman, berkunjung ke tempat peranginan serta mengadakan majlis keramaian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Abdul Hamid berkata tidak dapat dinafikan aktiviti sedemikian akan mewujudkan situasi orang ramai akan berkumpul dalam bilangan yang ramai.
Beliau mengingatkan masyarakat agar mengamalkan pembudayaan norma baharu dalam komuniti serta mengelak ‘3S’ (sesak, sempit dan sembang dekat) dalam aktiviti harian bagi membendung penularan wabak berkenaan.
“Bersama-sama kita berganding bahu untuk memutuskan rantaian dan melandaikan lengkuk jangkitan Covid-19 di Malaysia,” katanya. – Malaysiapost

