Pemain negara kecewa, harapan berkecai

0
1

HANCUR, berkecai! Itulah perasaan yang dapat digambarkan kepada Skuad bolasepak bawah 19 tahun negara.

Kekecewaan itu sangat dirasai susulan tidak dapat mempamerkan aksi pada Kejohanan Piala Dunia Bawah 20 tahun (B-20) di Indonesia kerana telah dibatalkan.

Pengurus pasukan, Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar berkata, pembatalan yang terpaksa dilakukan oleh Persekutuan Bolasepak Dunia (FIFA) jelas telah menghancurkan impian barisan pemainnya.

Apa tidaknya, menurut Kamarul, keputusan FIFA itu amat pahit ditelan para pemainnya yang telah berjuang bermati-matian untuk merangkul gelaran juara peringkat kumpulan di Kemboja sebelum ini.

“Selepas mereka berjaya menjadi juara peringkat kumpulan mereka dikumpulkan bersama menjalani latihan berpusat di Kelana Jaya sebagai persediaan Piala Dunia Bawah 20 Tahun yang dijadualkan diadakan di Thailand awal tahun depan.

“Saya sendiri melihat kesungguhan pemain menjalani latihan serta perlawanan persahabatan, kerana aksi di Thailand ini akan menentukan kita secara merit,” seperti dilapor portal CakapSukan.

Meskipun akur dengan keputusan Fifa itu, Kamarul Ariffin secara peribadi turut merasai kecewa namun memahami dengan situasi Pandemik Covid-19 dimana keselamatan adalah menjadi keutamaan ketika ini.

“Bagi saya skuad B19 ketika ini adalah skuad Emas yang mampu memberikan cabaran beraksi dipentas lebih tinggi, kejohanan ini adalah sasaran utama pasukan, ini peluang terbaik kita untuk meraih kejayaan diperingkat, tetapi seperti saya maklumkan tadi keselamatan pemain dan pengurusan juga penting.

“Ini langkah terbaik dan kami menghormati keputusan FIFA,” katanya.

Skuad bimbingan Brad Maloney itu dijangka mampu menggegarkan kejohanan B20 kerana dibarisi barisan pemain berbakat yang dianggap terbaik pernah dilahirkan negara.

Punah sudah harapan peminat bolasepak negara untuk menyaksikan pemain berbakat seperti Luqman Hakim, Wan Kuzri, Umar Hakeem dan Firdaus Kaironissam mempamerkan kehebatan mereka sekaligus menjulang nama Malaysia di persada antarabangsa.

Terdahulu FIFA memaklumkan pembatalan tersebut bukan hanya melibatkan Piala Dunia B-20 tetapi juga Piala Dunia B-17 di Peru turut dibatalkan.

Namun begitu, Indonesia dan Peru tetap dikekalkan sebagai tuan rumah untuk edisi seterusnya iaitu pada tahun 2023. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here