Kartel daging: Dedah nama syarikat terlibat, kembalikan keyakinan umat Islam

0
2

Nurul Huda Abhar

PEMUDA Umno mahu kerajaan mendedahkan segera nama syarikat yang dikatakan terbabit dalam sindiket kartel penyeludupan dan pengedaran daging import haram ke dalam negara.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pendedahan nama syarikat yang terlibat penting bagi mengembalikan kepercayaan dan keyakinan umat Islam terhadap keabsahan status halal daging import yang berada dalam pasaran.

“Pemuda Umno juga mendesak agar ditubuhkan segera pasukan khas yang melibatkan pelbagai agensi kawal selia dan penguatkuasaan industri Halal termasuk pihak Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

“Ia bagi menjalankan penyiasatan dan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam sebarang bentuk penyelewengan termasuk rasuah dalam isu kartel daging haram ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Asyraf Wajdi berkata, tidak sepatutnya pihak yang terlibat dengan isu sindiket kartel daging haram itu terlepas daripada tindakan undang-undang.

“Jangan ada sebarang usaha menutup ataupun melindungi mana-mana pihak termasuk jika terdapat orang kenamaan dan vvip yang terlibat dengan penyelewengan amanah umat islam ini!,” ujarnya.

Semalam, beliau mengutarakan enam cadangan kepada pihak kerajaan mengenai isu penyeludupan daging import atau kartel daging import yang diragui status kehalalannya.

Pada 1 Disember lalu, sebuah gudang syarikat daging sejuk beku di Taman Perindustrian Senai, Johor Bahru, Johor diserbu pihak berkuasa hasil risikan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) kerana dipercayai terbabit dalam kegiatan menyeludup daging sejuk beku.

Kartel berkenaan dipercayai menjadikan sebuah gudang di Senai sebagai lokasi untuk membuat label dan cap palsu yang kemudiannya akan ditampal pada kotak daging yang dibungkus semula itu. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here