Ketukan misteri kini muncul di Pulau Pinang pula

0
1

KEJADIAN ketukan misteri yang tular baru-baru ini kini dilaporkan ‘menyerang’ Pulau Pinang pula, selepas mengacau penduduk di Selangor, Johor, Melaka, Pahang dan Negeri Sembilan.

Sejak beberapa hari lalu, heboh kisah beberapa kediaman penduduk di negeri itu khususnya yang menetap di kawasan Taman Ilmu serta kawasan berhampirannya di Nibong Tebal yang tidak tidur lena akibat diganggu bunyi ketukan terbabit.

Perkara itu disahkan seorang penduduk Taman Ilmu, Norasmawati Allias yang mengakui kali pertama berdepan dengan bunyi ketukan misteri itu sejak tinggal di situ kira-kira empat tahun lalu.

“Kejadian ketukan itu berlaku dua malam berturut-turut dan pada malam ketiga, kami mengambil keputusan untuk memanggil ustaz.

“Selepas dia (ustaz) pasang ayat-ayat tertentu untuk ‘pagar’ rumah kami, Alhamdulillah, masuk malam ketiga, tiada lagi bunyi ketukan yang kedengaran,” katanya seperti dilaporkan Utusan Online, hari ini.

Mengulas lanjut, kata Norasmawati, ketukan yang bermula sejak tengah malam Selasa lalu itu kedengaran untuk tempoh selang sejam berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kediaman mereka.

“Suami saya seorang anggota polis dan dia beritahu bunyi tersebut memang bukan bunyi motor sebab sudah banyak bunyi ekzos yang dia dengar sebelum ini.

“Pada masa sama, dia juga tidak menggalakkan saya membuat laporan polis mengenai kejadian ini kecuali jika kembali berulang,” katanya yang percaya bunyi ketukan tersebut masih berlegar di sekitar taman perumahan yang didiaminya, namun di lorong yang berbeza.

Tambah Norasmawati, suaminya yang tidak mudah percaya kepada benda-benda mistik itu juga mengakui bunyi ketukan tersebut tidak pernah didengarinya sebelum ini.

“Pelik juga apabila ada suara-suara sumbang mengatakan bunyi tersebut adalah bunyi motosikal padahal malam itu suasananya sunyi sepi sahaja,” kata wanita berkenaan.

Dalam pada itu, seorang lagi penduduk, Abdul Razak Khamis, 50, yang tinggal di Taman Pekaka tidak jauh dari situ memberitahu, dia juga diganggu bunyi ketukan yang hampir sama kelmarin, namun untuk tempoh satu malam sahaja.

“Saya harap tidak ada sebarang petunjuk atau kejadian pelik yang akan berlaku susulan daripada ketukan misteri ini,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here