Kes pekebun durian di Raub tak jejas pengeluaran Musang King

0
1

ISU pekebun durian di Raub, Pahang tidak akan menjejaskan pengeluaran dan penghasilan buah itu terutamanya jenis Musang King bagi pasaran dan eksport ke luar negara.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, ini kerana masih terdapat beberapa ladang lain di negara ini menanam durian Musang King.

Katanya, beliau yakin ladang itu mampu menampung permintaan terhadap buah yang mendapat sambutan hebat termasuk yang diproses dan disejuk beku.

“Apa yang paling penting setiap pekebun durian perlu mengikut prosedur dengan berdaftar dan lulus audit fasiliti serta ladang, selain perlu memperoleh Sijil Amalan Pengilangan Baik (GMP) bagi memastikan durian yang dihasilkan berkualiti dan bermutu tinggi.

“Syarat lain iaitu pokok durian yang ditanam adalah di atas tanah pemilikan sendiri atau disewa pajak serta disahkan perjanjian tersebut manakala bagi tanah yang diterokai tidak layak,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Kuantan menolak permohonan 204 pekebun durian Musang King di Raub untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman, terhadap notis arahan pengosongan tanah yang dikeluarkan kerajaan Pahang pada 23 Disember lalu.

Keputusan itu dibuat berdasarkan dua alasan iaitu pertama, notis-notis pengusiran yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri bukan merupakan keputusan atau tindakan yang berada di bawah lingkungan semakan kehakiman.

Kedua, mahkamah berpendapat bahawa petani merupakan penceroboh terhadap tanah-tanah tersebut. Oleh itu, mereka tidak mempunyai locus standi untuk memohon semakan tersebut. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here