Annuar sindir pemimpin Umno jadi jurucakap DAP

0
1
KUALA LUMPUR, 27 Feb -- Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa bercakap ketika sidang media selepas pertemuan khas di ibu pejabat UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.
--fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

NARATIF baru yang sedang dihidupkan beberapa pemimpin Umno, jelas telah melegakan DAP, kata Tan Sri Annuar Musa.

Sambil menyindir, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) itu berkata, naratif yang berselindung dengan nama jajaran baru itu memudahkan usaha DAP untuk memecah belahkan Umno.

“Sedikit sebanyak DAP sudah boleh berbangga. Kini sudah terdapat pemimpin tinggi Umno yg menjadi jurubicara mereka.

“Rata rata akar umbi mengadu dan resah dengan gerakan ini.Jelas Umno bergerak ke arah perpecahan dan bukannya konsolidasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lebih menghairankan, menurut Annuar, para pemimpin Umno yang menjaja naratif Umno perlu bekerjasama dengan DAP dan Anwar, seolah-seolah diberi lampu hijau oleh kepimpinan tertinggi untuk melanggarkan dasar parti.

“Ada yg kehulu ke hilir cuba membawa justifikasi dan neratif kenapa Umno harus terima DAP dan Dsai (Anwar).

“Mereka mendapat platform rasmi dan yang dilantik rasmi, justeru ada yg menganggap mesej mereka adalah mesej pucuk pimpinan walau jelas bertentangan dengan dasar parti,” kata Menteri Wilayah Persekutuan itu.

Annuar juga mempersoalkan, dengan jajaran baru yang didendangkan itu, adakah Umno telah bersedia untuk mempertaruhkan perpaduan yang terjalin antara parti itu dengan PAS dan Bersatu musnah sekali lagi dan membiarkan Pakatan Harapan (PH) menguasai negara pada Pilihan Raya Umum akan datang.

“Pihak yang masih berpegang kepada keputusan rasmi parti masih berdiam diri dan memerhati. Rata rata mereka mewakili kawasan kubu Umno dan yang memenangi PRU-14.

“Apakah kubu-kubu ini bakal menjadi ‘kubur’ taruhan apabila perpaduan Melayu dan solidariti parti-parti yang menumbangkan PH bakal dirobek atas nama jajaran baru?, katanya.

Selepas Belanjawan 2021 diluluskan di Dewan Rakyat 15 Disember lalu, terdapat usaha beberapa pemimpin Umno mendesak Umno untuk menarik sokongannya terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Malah, terdapat segelintir pemimpin Umno menyatakan secara terbuka bahawa parti itu patut menjalinkan kerjasama politik dengan PH pada PRU-15 nanti demi kelangsungan Umno.

Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, semoga Umno tidak terjatuh kali kedua kerana kesilapan mereka yg berada di atas.

“Jangan yang dikejar tak dapat, yang dikendong pula jatuh berciciran

“Peranan menyatu padukan Melayu bakal didokong obornya oleh parti lain, bukan lagi umno nampaknya,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here