SEORANG kakitangan Transit Aliran Ringan (LRT), yang bertugas di Stesen Bandaraya disahkan positif Covid-19 Khamis lalu, kini menjalani rawatan di Hospital Sungai Buloh, Selangor.
Rapid Rail dalam kenyataan hari ini memaklumkan, kali terakhir kakitangan itu bertugas di stesen tersebut pada 19 Disember lalu dan tidak bekerja sejak tarikh berkenaan.
“Berdasarkan siasatan kami, ini adalah insiden di kawasan tertutup dan pegawai stesen berkenaan tiada mempunyai kontak dengan para penumpang ketika bertugas,” kata kenyataan itu.
Berikutan pengesahan itu, pihak pengurusan Rapid Rail yang menjadi operator perkhidmatan semua rangkaian LRT, telah melaksanakan kerja-kerja disinfektasi dan pembersihan tempat kerja kakitangan itu pada malam berkenaan berpandukan garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Tambahnya, pekerja lain yang mempunyai kontak rapat dengan kakitangan berkenaan turut diarahkan menjalani ujian saringan dan menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari seperti yang ditetapkan di bawah prosedur operasi standard (SOP) KKM.
“Rapid Rail akan terus memantau dengan rapi perkembangan kes ini dan sentiasa bekerja rapat dengan pihak berkuasa khususnya KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sejak awal penularan pandemik ini sejak awal tahun lagi.
“Ia bagi memastikan perkhidmatan pengangkutan awam yang dikendalikan oleh Rapid Rail dan juga Rapid Bus sentiasa berkeadaan selamat dan selesa untuk digunakan,” ujarnya. -Malaysiapost

