Jadi pembangkang, semangat Amanah tak luntur

0
1

Najamuddin Mohd Nor

MESKIPUN telah kembali menjadi pembangkang, Parti Amanah Negara (Amanah) tetap bertekad memperkukuhkan kerjasama dengan parti kompenen Pakatan Harapan (PH).

Setiausaha Agung Amanah, Datuk Dr Hatta Ramli, berkata semangat parti itu tidak mudah luntur, malah menjadikan ia sebagai cabaran untuk membina satu gabungan pembangkang yang kuat pada pilihan raya umum nanti.

“Dua kali meraikan Konvensyen dalam keadaan berkerajaan, kita kembali sebagai pembangkang. Walaupun begitu, tekad kita tak patut luntur, malah perlu tanam azam untuk bangkit semula.

“Parti ini telah mengharungi pelbagai cabaran, ada juga menguji ketahanan dan kesabaran. Dengan keahlian lebih 150,000 dalam tempoh lima tahun, kita rasa Amanah telah mengisi keperluan politik arus negara.

“Mood rakyat semakin jemu dengan politik. Ini cabaran penting untuk kita membawa kesegaran politik demi menarik perhatian anak muda terutamanya,” katanya ketika berucap di Konvensyen Amanah Nasional di Bayu Lagoon Park, Bukit Katil hari ini.

Pada masa sama, Hatta yang merupakan Ahli Parlimen Lumut mengingatkan Amanah masih memerlukan proses pembangunan ahli yang mantap dan perlu lebih bersiap siaga untuk menerima lebih ramai ahli.

Tambahnya, selaras dengan tekad mengukuhkan perlembagaan parti, Amanah akan membawa beberapa usul untuk menjadikan parti itu lebih mantap, mudah difahami dan praktikal untuk pembangunan ahli.

“Berilah masa untuk setiap ahli dan kepimpinan berlatih, membina kemampuan pentadbiran dan memanfaatkan segala sumber yang untuk kita menjayakan parti kita.

“Paling utama, kita akan terus kukuhkan keakraban dan hubungan kita dengan kepimpinan PH. Ini bukan sahaja untuk mengembalikan mandat tapi supaya PH terus berjaya di masa depan,” katanya -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here