Sasha suntik vaksin Covid-19 di UAE

0
1

PENYANYI dan pelakon, Sasha Saidin mengesahkan telah mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

Beliau yang menetap di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan suami, Sirhan Wahab telah mendapatkan suntikan vaksin tersebut Khamis lalu.

Menerusi hantaran di Instagramnya, Sasha memberitahu, dia dan suaminya mendapatkan suntikan vaksin jenis sinopharm.

“Kami mengambil keputusan untuk menyuntik vaksin jenis sinopharm yang mempunyai keberkesanan sebanyak 86 peratus selepas mendengar khabar mengenai mutasi terbaharu Covid-19.

“Tetapi, sebelum mengambilnya kami telah diberitahu pihak kesihatan di pusat vaksinasi bahawa vaksin tersebut telah selesai pada peringkat percubaan di UAE Ogos lalu dan mendapat keputusan memuaskan,” katanya.

Perkhabaran terbaru itu menjadikan penyanyi kumpulan Elite dan suaminya itu antara rakyat Malaysia terawal yang telah disuntik vaksin Covid-19.

Menurut Sasha, keputusan menyuntik vaksin jenis Sinopharm dilakukan selepas melakukan perbandingan dengan sejenis lagi vaksin iaitu pfizer.

Bagaimanapun, sebelum disuntik, Sasha dan suaminya telah ditanya beberapa soalan mengenai alahan dan kesihatan mereka sebelum mengambil suntikan tersebut.

“Saya nasihatkan kepada semua supaya buat kajian terlebih dahulu sebelum mengambil sesuatu vaksin.

“Masyarakat perlu mengikuti perkembangan terkini mengenai apa sahaja berita berkaitan Covid-19 termasuk vaksin setiap hari,” jelasnya yang menetap di negara timur tengah itu sejak Januari 2020.

Dalam pada itu, kakak kepada pelakon Zain Saidin itu juga mengucapkan penghargaan kepada kerajaan UAE kerana memberikan vaksin tersebut secara percuma tanpa mengira warna kulit, agama dan bangsa.

Katanya lagi, dia dan suami kini perlu menunggu selama 21 hari sebelum diberi suntikan dos kedua. -Malaysiapost.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here