30 individu ditahan sertai ‘parti liar’

0
1

POLIS menahan 30 individu termasuk seorang warga asing kerana terbabit ‘parti liar’ di sebuah banglo di Genting Sempah, Bukit Tinggi, Pahang, semalam.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, dalam serbuan jam 4.45 pagi itu, 17 lelaki dan 13 wanita berusia antara 20 hingga 35 tahun ditahan.

Selain itu, katanya, polis juga merampas dadah jenis Methamphetamine, ketamine dan ganja dengan anggaran nilai keseluruhan RM3,750.

“Ujian saringan awal air kencing didapati seramai 15 lelaki dan 10 wanita positif dadah jenis Methamphetamine, manakala seorang lagi wanita positif ketamine,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Semua 29 warganegara tempatan itu dikenakan kompaun RM1,000 seorang di bawah Akta 342 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“Ia kerana menjalankan aktiviti menyebabkan orang ramai hadir di suatu tempat hingga menyukarkan penjarakan fizikal dan pematuhan kepada arahan Ketua Pengarah Kesihatan,” katanya.

Zaiham berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 39a(1) ADB 1952 dan Seksyen 12(2) ADB 1952.

“Kes turut disiasat mengikut Seksyen 6 ADB 1952, Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 dan Seksyen 15 (1)(c),” katanya.-Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here