POLIS Pulau Pinang merampas pelbagai jenis dadah seberat 573 kilogram (kg) bernilai RM25.87 juta melalui tiga serbuan di Nibong Tebal dan Georgetown, Isnin hingga Rabu lalu.
Dalam serbuan itu, polis menahan sindiket pengedaran dadah yang didalangi warga tempatan iaitu lelaki berusia 37 tahun bersama rakannya berusia 43 tahun.
Ketua Polis negeri, Datuk Sahabudin Abd Manan, berkata serbuan itu dilancarkan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Ibu Pejabat Daerah (IPD) Seberang Perai Selatan dan Balai Polis Nibong Tebal.
“Ia adalah rampasan terbesar bagi tahun ini. Dalam serbuan yang dilakukan pada jam 7 petang hingga 11 malam, polis menahan dalang sindiket terbabit di dalam sebuah kereta yang berhenti di sebuah lorong di antara premis kedai di Taman Perindustrian Nibong Tebal.
“Pemeriksaan lanjut di dalam kereta menemui 100 bungkusan dadah dipercayai syabu sebelum membawa kepada serbuan kedua di sebuah stor penyimpanan bekalan pelbagai jenis dadah di kawasan taman perumahan berdekatan.
“Polis menjumpai sejumlah dadah dipercayai syabu, serbuk ekstasi, pil ekstacy, heroin dan ketamin yang jumlah keseluruhan bernilai RM25.87 juta,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.
Katanya, suspek kedua bekerja sebagai peniaga dalam talian didapati bersengkongkol dalam aktiviti pengedaran dadah itu.
“Bagaimanapun, serbuan ketiga tidak menemui apa-apa barang salah ke atas suspek.
“Kedua-dua suspek sudah berkahwin, didapati melakukan kegiatan jenayah mereka pada pertengahan tahun ini,” katanya.
Sahabudin berkata, melalui siasatan mendapati sindiket itu mendapatkan bekalan dari negara jiran di bahagian utara, kemudian menjadikan Pulau Pinang sebagai kawasan transit sebelum memasarkan semua dadah itu sekitar Selangor dan Kuala Lumpur dengan menggunakan jalan darat.
“Hasil ujian saringan air kencing dijalankan ke atas mereka mendapati, suspek utama yang mempunyai tiga rekod lampau didapati positif dadah manakala rakannya, negatif dan tiada rekod lampau.
“Polis turut menyita sebuah kereta, wang tunai, wang dalam akaun dan barang kemas dengan nilai sitaan RM234,231.82,” katanya.
Beliau berkata, kedua-dua suspek itu direman selama tujuh hari dari 22 Disember lalu hingga Isnin ini bagi siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. -Malaysiapost

