5 beranak ‘berumah’ dalam kereta, dapat unit PPR

0
1

LIMA beranak yang terpaksa menjadikan kereta sebagai tempat berteduh sejak lapan bulan lalu, mendapat pembelaan apabila permohonan keluarga itu mendapatkan Projek Perumahan Rakyat (PPR) diluluskan Kerajaan Pulau Pinang.

S Ganesh, 34, ternyata lega dan gembira selepas dapat mendiami PPR sekali gus memberikan keluarganya kehidupan lebih selesa.

Menurutnya, dia dan keluarga berterima kasih di atas keprihatinan semua pihak yang tampil membantu meringankan beban ditanggungnya.

“Selepas kisah saya mendapat liputan pelbagai bantuan tanpa mengira latar belakang datang menghulurkan bantuan.

“Kini permohonan saya untuk mendapatkan PPR juga diluluskan dan saya amat terharu dengan segala bantuan serta sumbangan,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Sebelum itu, Ganesh bersama keluarganya akan tinggal buat sementara waktu di unit bencana di PPR Padang Tembak, Georgetown sehingga unit PPR di blok berhampiran selesai dibaiki serta tidak perlu membayar sewa dua bulan.

Media kelmarin, melaporkan Ganesh bersama isteri, Parameswari, 32, dan tiga anak, Girthikanes, 8, dan Devi Shri, 6, dan Kirthana, lapan bulan terpaksa ‘berumah’ di dalam kereta.

Ia berikutan rumah yang didiami lima beranak itu di Lebuh Carnavon terbakar dalam kejadian, 6 April lalu.

Ganesh yang bekerja sebagai pengawal keselamatan pada waktu malam pernah terputus dua hari bekalan makanan kerana tiada wang.

Kesemua anak mereka hanya diberi minum air kosong dan air kopi, selain makan biskut bagi mengalas perut.

Keluarga itu turut menjadikan tandas awam di beberapa lokasi sekitar bandar raya ini untuk membersihkan diri.

Semalam pelbagai bantuan makanan serta tempat tinggal sementara oleh individu prihatin dihulurkan kepada keluarga itu selepas kisah hidup mereka terpapar di media.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo, berkata Ganesh sebelum itu pernah ditawarkan sebuah unit PPR selepas rumahnya terbakar, namun menolak atas sebab tertentu.

“Pada April lalu saya difahamkan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menawarkan kepada Ganesh untuk menduduki PPR di bawah unit bencana namun dia menolak.

Foto : Berita Harian

“Namun, Rabu lalu Ganesh membuat permohonan untuk mendiami PPR dan pihak kerajaan negeri terus meluluskannya,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here