Sarang penagih di Bukit Malut antara digempur

0
2

LOKASI yang dijadikan ‘sarang’ penagih dadah melepaskan gian termasuk di Bukit Malut digempur polis dalam Op Sarang 3.0 di Pulau Langkawi, semalam.

Hasilnya, seramai 42 individu termasuk seorang wanita ditahan atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah.

Dalam operasi bermula jam 8 pagi hingga 10 malam itu, tiga lokasi penagihan dadah digempur membabitkan 25 pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari, berkata operasi itu turut disertai seorang pegawai dan tiga anggota Pasukan Polis Marin Wilayah 1 Langkawi.

“Semua suspek yang ditahan berusia antara 19 hingga 57 tahun membabitkan masing-masing seorang pengedar dan memiliki dadah, manakala 40 penagih dadah.

“Serbuan membabitkan tiga sarang penagihan dadah iaitu Taman Nilam, Kampung Bakau Kelibang dan Bukit Malut,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Shariman berkata, polis turut merampas dadah heroin seberat 3.10 gram (g).

“Seorang suspek disiasat mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan seorang lagi mengikut Seksyen 12 (2) ADB 1952.

“Selain itu, 40 individu lain disiasat mengikut Seksyen 15(1)(A) akta sama selepas didapati positif dadah,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here