Pernah tolak lamaran 4 tahun lepas, Dayana Roza akui jodoh dengan suami kuat

0
2

PELAKON Dayana Roza sah bergelar isteri kepada ahli perniagaan, A’dale Adham Ayuhudin, 33, pagi tadi.

Pasangan itu dinikahkan oleh bapa Dayana, Kamsun Baharin Kassim dengan disaksikan Iman Masjid Negara, Ustaz Muhammad Afif Jamal.

Majlis pernikahan tersebut berlangsung mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) Masjid Negara, Kuala Lumpur dan dihadiri kira-kira 30 jemputan yang terdiri daripada ahli keluarga terdekat.

Pengantin lelaki menyerahkan tujuh dulang hantaran berbalas sembilan dulang, pada majlis itu.

Mas kahwin pula dalam bentuk gelang tangan bernilai RM2,000. Wang hantaran dirahsiakan atas permintaan keluarga.

Dayana bersyukur majlis pernikahan selesai dan ikatan antara mereka sudah terpateri.

“Alhamdulillah, terpateri sudah ikatan sah antara kami. Sepatutnya, saya dan suami bernikah pada 12 Disember lalu.

“Namun, kita hanya merancang. Di sebalik ujian pandemik Covid-19 yang membataskan banyak perkara, kami hanya dapat melangsungkan acara wajib dahulu.

“Cuma datuk A’dale kurang sihat dan tidak dapat hadir pada majlis nikah,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Dayana, 29, berkata, mereka merancang menganjurkan majlis resepsi pada 10 Januari ini.

Berkongsi mengenai percintaan mereka, Dayana atau nama sebenar, Nur Dayana Kamsun Baharin berkata, A’dale beriya-iya mahu memperisterikannya.

“A’dale pernah menyuarakan hasrat melamar saya, kira-kira empat tahun lalu. Tetapi, saya menolak lamaran itu.

“Tidak sangka, hasratnya jadi nyata. A’dale sanggup menunggu lama… Jodoh kami kuat,” katanya.

Dayana berkata, mereka berkawan rapat dan selalu menghabiskan masa bersama.

“A’dale ini kawan gaduh dan suka menyakat saya. Tidak sangka jodoh di depan mata dan saya tidak pernah sedar selama ini.

“Saya sukakan A’dale kerana dia pandai mengambil hati ibu sepanjang kami berkawan,” ujarnya lagi.

Sementara itu, A’dale tertarik dengan Dayana yang suka aktiviti lasak seperti belayar dan memancing.

“Arwah nenek pernah beritahu, kalau cari calon isteri, pilih gadis berkulit putih. Jadi, Dayana memang dalam kategori putih, cuma sekarang gelap sedikit.

“Paling penting, kami meminati hobi lasak,” katanya.

Pasangan ini tidak menolak rezeki dikurniakan zuriat dalam masa terdekat selain merancang berbulan madu di Langkawi.

Dayana dan A’dale terlebih dahulu mengikat pertunangan pada 5 Ogos lalu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here