KERAJAAN memutuskan untuk mengambil tindakan undang-undang dan penalti terhadap majikan pekerja asing yang gagal menjalani ujian saringan Covid-19.
Menurut Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mulai 1 Januari ini kerajaan akan menguatkuasakan arahan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342).
Katanya, ia susulan keengganan majikan memberi kerjasama terhadap arahan yang menetapkan semua pekerja asing yang bekerja di semua sektor termasuk pembinaan, perkilangan dan komersial untuk menjalani saringan Covid-19 dan kos ujian saringan perlu ditanggung syarikat berkenaan.
“Sehingga kini, Kementerian Sumber Manusia mengesahkan 49,248 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan yang melibatkan 1,990 majikan,” katanya pada sidang media hari ini.
Beliau berkata, kerajaan juga mempergiatkan pemeriksaan terhadap kediaman pekerja asing di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja (Akta 446).
“Sehingga kini sebanyak 12 syarikat dan 27 pertuduhan telah dikenakan ke atas majikan yang ingkar.
“Sidang Khas turut bersetuju mewajibkan majikan menanggung kos kuarantin dan rawatan bagi pekerja warga asing positif Covid-19 yang dipindahkan ke hospital atau Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC),” katanya. – Malaysiapost

