Jom tonton aksi Dr Noor Hisham dalam animasi Ejen Ali

0
1

RAKYAT Malaysia bakal menyaksikan aksi Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memerangi pandemik Covid-19 dalam animasi popular, Ejen Ali, esok. 

Ia sebagai menghargai usaha dan keringat Ketua Pengarah Kesihatan itu memimpin petugas barisan hadapan negara mengekang pandemik bahaya berkenaan. 

Filem animasi pendek yang diberi judul Ejen Ali Misi: Juang itu bakal menyaksikan penghormatan kepada Dr Noor Hisham dengan watak Ejen Hisham. 

Ketua Pegawai Eksekutif Wau Animation, Muhammad Usamah Zaid Yasin berkata, filem berdurasi 15 minit itu adalah usahasama dengan Primeworks Studios, memaparkan cerita berkisar isu semasa ketika dunia dilanda pandemik Covid-19.  

“Sekarang, kita masih berperang dengan Covid-19. Jadi, saya terfikir untuk tampilkannya dalam bentuk visual dan persembahkan cabaran yang kita hadapi.  

“Pada masa sama, karya ini juga hadiah dan tanda pernghargaan buat petugas barisan hadapan. 

“Karakternya adalah sebagai tanda penghargaan buat beliau. Kami mendapat persetujuan daripada pihaknya (Dr Noor Hisham) sebelum teruskan dengan idea ini.  

“Dua senjata yang menjadi kekuatan karakternya diinspirasikan daripada penyukat suhu badan dan batang kapas untuk ujian calitan (swab),” katanya pada majlis promosi kit Ejen Ali di Kuala Lumpur, semalam. 

Filem pendek itu akan dilancarkan pada 25 Disember ini, jam 9.45 malam menerusi saluran YouTube rasmi ​Ejen Ali. 

Menurut Usamah Zaid, filem animasi pendek itu juga untuk menghargai pengorbanan petugas barisan hadapan yang saban waktu bertungkus lumus memerangi Covid-19.  

“Setiap hari petugas barisan hadapan kita berada di medan perang melawan musuh yang tidak dapat dilihat.  

“Dengan peningkatan kes positif setiap hari, kami menyeru ejen di luar sana menzahirkan rasa terima kasih dan menunjukkan penghargaan atas usaha dan pengorbanan mereka,” kata Usamah Zaid, semalam. 

Selang 15 minit berikutnya, penonton berpeluang menyaksikan filem Ejen Ali yang dialih suara ke bahasa Inggeris di TV3. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here