i-Sinar: Terus ke pejabat KWSP, bukan guna orang tengah – polis

0
1

BUAT permohonan i-Sinar terus di pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan bukan melalui orang tengah, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob. 

Beliau berkata pihaknya yakin ada pihak akan cuba mengambil kesempatan untuk melakukan penipuan dengan menawarkan khidmat membantu proses permohonan. 

“Difahamkan, KWSP tidak melantik mana-mana pihak untuk membantu pemohon membuat permohonan, justeru orang ramai jangan mudah terpedaya dengan taktik mana-mana pihak yang mengaku sebagai ejen atau orang tengah. 

“Buat masa ini kita belum menerima sebarang aduan berhubung kejadian seumpama itu namun kita bimbang ada pihak yang cuba mengambil kesempatan,” katanya seperti dilapor BH. 

Beliau berkata, orang ramai diminta berhati-hati sekiranya ditawar khidmat sedemikian kerana sindiket yang menjalankan penipuan biasanya akan meminta wang imbuhan untuk khidmat yang diberikan. 

Dalam pada itu, polis percaya ada pihak akan cuba memperdaya orang ramai yang berjaya membuat pengeluaran i-Sinar untuk melaburkan wang itu dalam skim pelaburan tertentu yang menjanjikan pulangan lumayan. 

“Perkara sebegini memang biasa berlaku. Pasti ada pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk menarik mereka menyertai skim-skim pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan dalam masa singkat. 

“Kita tidak mahu ada yang terpedaya dan menggunakan wang simpanan yang dikeluarkan untuk menyertai pelaburan yang belum tentu sah dan akhirnya menjadi mangsa penipuan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here