Lelaki parah ditetak anak saudara

0
1

ANGKARA berselisih faham, seorang lelaki berusia 41 tahun parah ditetak anak saudaranya dalam kejadian di sebuah kedai telefon berhampiran flet di Jalan Veterinari, di Georgetown, semalam.

Mangsa dipercayai turut diserang lima rakan suspek dalam kejadian kira-kira jam 9.14 malam itu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong, berkata maklumat diterima mendakwa mangsa terdahulu terlanggar bahu anak saudaranya di sebuah restoran di Jalan Sultan Ahmad Shah, pada dua hari lalu.

Katanya, insiden itu menimbulkan perselisihan faham menyebabkan suspek bersama lima rakannya datang ke premis berkenaan semalam, bagi menyerang mangsa.

“Mangsa ditetak menggunakan parang dan cedera pada perut, lengan kiri dan kaki kiri sebelum dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan lanjut.

“Susulan itu, tiga suspek berusia 25 hingga 28 tahun termasuk anak saudara mangsa ditahan, manakala tiga lagi sedang diburu,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Soffian berkata, semakan mendapati dua daripada tiga suspek mempunyai rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan, selain Seksyen 148 dan Seksyen 506 serta 323 akta sama.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan semua tiga suspek direman sehingga 25 Disember bagi membantu siasatan. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here