Wira Putra minta PAC audit pembelian vaksin

0
2

WIRA Putra Malaysia meminta penjelasan kerajaan berhubung perbelanjaan RM3 billion untuk 10 juta vaksin sedangkan Belgium hanya membelanjakan lebih kurang RM1.38 billion untuk 33 juta vaksin.

Naib Ketuanya, Syed Mohd Shahriman Syed Badrishah, berkata pihaknya melihat terdapat kecurigaan di dalam proses pembelian vaksin kerana margin pembelian oleh kerajaan Malaysia berbanding Belgium sangat ketara iaitu sebanyak lebih kurang RM2.62 billion.

Katanya, jumlah tersebut tidak logik jika membabitkan kos tambahan seperti kos penghantaran, kos penyimpanan dan kos lain-lain.

“Wira Putra Malaysia menggesa siasatan yang terperinci perlu dilakukan terhadap proses pembelian vaksin ini dan diaudit sepenuhnya oleh PAC (Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara).

“Kita juga mencadangkan agar kerajaan mewujudkan ‘bipartisan committee’ yang turut membabitkan ahli parlimen pembangkang bagi menimbal balik keputusan kerajaan dalam proses pembelian vaksin ini agar proses pembelian dapat dijalankan secara telus tanpa sebarang ketirisan wang rakyat,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata secara dasar, pembelian vaksin ini amatlah penting untuk rakyat Malaysia dalam menangani masalah pandemik Covid-19 yang melanda negara hampir setahun dan pembelian vaksin ini dilihat jalan penyelesaian yang paling diharapkan oleh rakyat.

“Janganlah kerajaan mengambil kesempatan di dalam keadaan rakyat negara ini berharap dan menantikan vaksin untuk membendung penularan pandemik Covid-19.

“Wira Putra Malaysia mengecam sekeras-kerasnya jika ada penyalahgunaan dana pembelian vaksin Covid-19 ini dan akan terus memantau sehingga proses pembelian vaksin ini berjalan dengan sempurna,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here