MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 30 Disember ini untuk keputusan kes permohonan Datuk Azhar Azizan Harun bagi membatalkan saman Tun Dr Mahathir Mohamad yang mencabar pelantikannya sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat.
Peguam bekas perdana menteri itu, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata mahkamah hari ini telah menghubungi pihak-pihak terbabit mengenai perubahan tarikh itu.
“Tarikh baru untuk keputusan permohonan pembatalan adalah pada 30 Disember ini jam 10 pagi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
“Tarikh (30 Disember) dipersetujui oleh semua pihak,” katanya seperti dilapor Malaysiakini.
Sebelum ini Mahkamah Tinggi menetapkan 18 Januari tahun depan untuk menyampaikan keputusan berhubung permohonan Azhar dan tiga defendan lain bagi membatalkan saman untuk menyingkirkan mereka daripada jawatan masing-masing.
Tiga defendan lain ialah timbalan speaker – Datuk Seri Azalina Othman Said dan Datuk Mohd Rashid Hasnon dan Setiausaha Dewan Rakyat, Nizam Mydin Bacha Mydin.
Saman tersebut antara lain bagi mencabar pelantikan Azhar dan Azalina sebagai speaker dan timbalan speaker, namun tidak mencabar kesahihan jawatan Rashid sebagai timbalan speaker.
Pada 23 Julai, plaintif yang terdiri daripada Dr Mahathir (Langkawi), Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Jerlun), Dr Maszlee Malik (Simpang Renggam), Datuk Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu), dan Datuk Dr Shahruddin Md Salleh (Sri Gading) memfailkan saman pemula. -Malaysiapost

