Kartel daging: Hilangkan keyakinan rakyat terhadap tahap keselamatan makanan

0
1

KERAJAAN termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa mengambil tindakan segera mengenai rasuah melibatkan ‘kartel’ pengimportan daging.

Peguam, Syahredzan Johan berkata menerusi laporan New Straits Times (NST) pada 21 dan 22 Disember lalu, kartel terbabit didakwa bersubahat dengan beberapa pegawai dalam agensi-agensi kerajaan.

“Ia bertujuan membawa daging-daging ke dalam negara kononnya sebagai daging yang berstatus halal.

“Juga menurut laporan tersebut, antara daging yang dibawa masuk adalah daging kangaru dan kuda, yang dijual sebagai daging yang berstatus halal.

“Laporan tersebut juga mendakwa bahawa pegawai-pegawai yang terlibat telah menerima pelbagai jenis habuan, termasuk wang dan seks, bagi membolehkan kartel tersebut beroperasi mengimport daging-daging tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, laporan media itu telah menimbulkan kegusaran dan kebimbangan di kalangan umat Islam di Malaysia.

Katanya, status halal daging-daging yang berada di pasaran Malaysia mendapat kepercayaan yang tinggi di kalangan rakyat, khususnya yang beragama Islam.

“Di samping itu, laporan tersebut juga menimbulkan persoalan mengenai keselamatan makanan (food safety) di Malaysia yang bukan sahaja melibatkan mereka yang beragama Islam, tetapi juga rakyat Malaysia secara amnya.

“Dilaporkan bahawa daging-daging yang dibawa masuk adalah haiwan yang berpenyakit atau daging yang berkualiti rendah.

“Ia sudah tentu akan memberi kesan kepada keyakinan orang ramai terhadap status halal daging-daging tersebut dan juga dari aspek keselamatan makanan, termasuk cara daging-daging ini dikendalikan dan disimpan,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berkata, perkara ini jika benar, ia sekali lagi menunjukkan bahawa rasuah dan korupsi adalah barah dalam masyarakat.

“Ia bukan sahaja merugikan negara dari segi wang ringgit, tetapi boleh menghakis keyakinan umum terhadap integriti daging-daging halal yang dibawa masuk ke dalam negara.

“Di samping menimbulkan keraguan terhadap keselamatan makanan di Malaysia,” katanya.

Baru-baru ini, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata anggota atau penguat kuasa agensi yang didapati bersekongkol dengan kartel pemalsuan logo halal terhadap daging import untuk dijual di pasaran Malaysia perlu diburu dan ditangkap.

Beliau berkata, mereka tidak boleh terlepas kerana isu tersebut amat besar dan siasatan menyeluruh perlu dilakukan jika benar ada yang terlibat.

Katanya, siasatan tersebut perlu supaya semua rantaian yang terlibat dikenakan hukuman termasuk mereka yang menyebabkan berlakunya ketirisan dalam agensi penguatkuasaan. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here