ORANG ramai diminta bersangka baik dan menunggu siasatan selesai daripada terus mensensasikan kisah perkahwinan Illi Najwa Saddique dengan kapten hoki India, Manpreet Singh Pawar.
Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) Datuk Dr Nooh Gadot berkata, orang ramai harus menjunjung titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar yang menasihati semua pihak supaya tidak membuat apa-apa kesimpulan dan tindakan pra matang dalam mengulas isu itu.
“Orang ramai diminta bersabar dan jangan buat spekulasi yang bukan-bukan, tunggu dahulu siasatan pihak berkuasa berhubung isu ini.
“Kita perlu junjung titah Sultan Johor yang menitahkan siasatan menyeluruh dibuat berhubung isu membabitkan perkahwinan wanita berasal dari Johor ini,” katanya seperti dilapor Harian Metro.
Semalam, Sultan Ibrahim dilaporkan menitahkan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dan Jabatan Mufti Johor menyiasat status terkini agama wanita dari negeri itu yang dilaporkan berkahwin dengan pemain hoki warga India, minggu lalu.
Baginda dilaporkan bertegas mahu keabsahan agama wanita itu disahkan melalui ahli keluarganya di sini dan menerusi maklumat daripada kedutaan Malaysia di India.
Rabu lalu, Manpreet Singh Pawar melangsungkan majlis perkahwinan dengan Illi Najwa Saddique.
Pasangan itu menjalin hubungan cinta sejak lapan tahun lalu. Majlis resepsi diadakan di kampung halaman Manpreet di Mithapur dekat Jalandhar, Punjab. -Malaysiapost

