Muhammad Mustakim Ramli
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri meminta semua pihak bersabar dan menunggu penjelasan daripada pihak berautoriti iaitu pihak berkuasa agama negeri berhubung isu wanita Malaysia beragama Islam yang melangsungkan perkahwinan dengan ketua pasukan hoki India, baru-baru ini.
Menerusi kenyataan, beliau yakin sebarang bentuk kemelut boleh diselesaikan dengan hikmah dan bijaksana.
“Tindakan mempolitikan isu-isu sensitiviti agama seperti ini adalah perbuatan yang tidak matang, malah tidak menguntungkan agama.
“Patik menjunjung titah nasihat Sultan Ibrahim Sultan Iskandar agar semua pihak tidak membuat apa-apa kesimpulan dan tindakan pra matang dalam berita yang disebarkan,” katanya.
Zulkifli dalam pada itu turut menjelaskan dalam kes berkenaan rekod pengislaman adalah di bawah seliaan pihak berkuasa agama negeri Johor dan ia sedang dalam siasatan pihak berkuasa berkenaan.
“Perkahwinan antara pasangan Muslim dan bukan Muslim adalah tidak dibenarkan berdasarkan Seksyen 10, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Johor) 2003. Pasangan yang bukan Muslim hendaklah masuk Islam terlebih dahulu sebelum berkahwin.
“Bagi perkahwinan dibuat diluar negara, permohonan hendaklah dikemukan kepada Pendaftar Perkahwinan, Penceraian dan Ruju’ di Kedutaan, Suruhanjaya Tinggi atau Pejabat Konsul Malaysia di negara itu. Perkahwinan ini jga perlu didaftarkan selepas pasangan pulangan ke Malaysia. Adapun perkahwinan silang agama tidak dibenarkan dalam perundangan Malaysia,” katanya.
Zulkifli turut menasihatkan orang ramai yang beragama Islam untuk lebih berhati-hati dalam menanggapi sebarang isu yang berlaku dengan berhemah.
Isu status agama wanita itu, Illi Najwa Saddique timbul selepas dia dilaporkan melangsungkan perkahwinan mengikut acara keagamaan selain Islam di kampung halaman suaminya di Punjab, India.
Hari ini, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar menitahkan agar semua usaha yang perlu, dibuat oleh Pihak Berkuasa Agama Islam Negeri Johor untuk memastikan keabsahan terkini status wanita dari Johor yang dilapor melangsungkan pernikahan tidak berdasarkan Hukum Syara’ di India.
Usaha tersebut sama ada melalui ahli keluarganya dan menerusi Kedutaan Malaysia di India agar semua pihak dapat memastikan kesahihan berita tersebut dalam tempoh terdekat. – Malaysiapost

