PLAT kenderaan akan digunakan bagi menggantikan penggunaan pelekat kenderaan Orang Kurang Upaya (OKU).
Cadangan itu dipersetujui dalam mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Orang Kurang Upaya (MKBOKU) yang dipengerusikan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun hari ini.
Kementerian itu dalam kenyataan hari ini berkata, persetujuan penggunaan plat kenderaan OKU itu mengambil kira kepentingan dan keperluan golongan berkenaan serta waris yang memerlukan kemudahan itu disebabkan oleh limitasi mobiliti dan faktor keselamatan.
Menurut kenyataan itu, kategori OKU yang layak bagi penggunaan plat kenderaan berkenaan adalah kategori Fizikal, Sub Kategori OKU Pembelajaran iaitu ‘Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif (ADHD) Akut, Autism Akut, OKU Kategori Pelbagai dan Waris OKU berkenaan (satu waris) yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Cadangan ini akan membolehkan penguatkuasaan terhadap penyalahgunaan fasiliti OKU dapat dilaksanakan secara bersepadu dan meluas oleh pihak berkuasa,” kata kementerian itu seperti dilapor Bernama.
Penggunaan plat kenderaan OKU yang dibentangkan oleh Kementerian Pengangkutan adalah antara dua cadangan dikemukakan pada mesyuarat berkenaan, selain penubuhan Yayasan Pembangunan Orang Kurang Upaya (YPOKU) oleh Sekretariat Pembangunan Inklusiviti Pertubuhan Kebangsaan Orang Kerdil Malaysia.
Selain pembentangan mengenai penggunaan plat kenderaan OKU oleh Kementerian Pengangkutan, turut dikemukakan cadangan penubuhan YPOKU.
Mengenai cadangan YPOKU, kementerian berkenaan menyatakan penubuhannya amat bertepatan dengan keperluan semasa dan akan memberikan implikasi signifikan kepada pembangunan dan pemerkasaan OKU di Malaysia.
“Mesyuarat MKBOKU secara dasarnya setuju mengenai cadangan penubuhan YPOKU. Bagaimanapun, pelaksanaan, struktur dan mekanisme bagi cadangan ini akan diperhalusi serta diperincikan terlebih dahulu sebelum dilaksanakan,” menurut kementerian itu.
Turut dibentangkan, empat kertas makluman iaitu Pelan Perancangan Bersepadu Penambahbaikan Penyertaan Orang Kurang Upaya dalam Perkhidmatan Awam; Kemudahan dan Aksesibiliti yang disediakan Suruhanjaya Pilihan Raya kepada OKU di Tempat Mengundi; Hak Pekerja OKU di bawah Undang-Undang di Malaysia; dan Pengurusan & Pemberdayaan OKU Kelantan. – Malaysiapost

