BANYAK negara mula menyekat penerbangan dari Britain berikutan London mengesan jangkitan Covid-19 dari strain baharu dan dipercayai merebak ‘di luar kawalan’.
AFP melaporkan, India menyekat semua penerbangan dari United Kingdom (UK) bermula tengah malam ini hingga 31 Disember dan mengarahkan penumpang yang tiba dari Britain untuk menjalani ujian calitan.
Poland, sebagaimana India yang mencatatkan banyak populasi diaspora di Britain turut menyekat penerbangan dari UK bermula tengah malam ini.
Moscow turut mengambil langkah sama dan meminta penumpang dari UK menjalani kuarantin.
Perancis menyekat perjalanan dari Britain termasuk barangan yang dihantar melalui darat, laut, udara dan kereta api.
Jerman mengambil langkah sama dan menghalang perjalanan dari UK sehingga 31 Disember ini dan mungkin dilanjutkan sehingga Januari 2021.
Bagaimanapun, penerbangan kargo dibenarkan.
Belanda yang mencatatkan satu kes dari strain baharu itu turut menyekat semua penerbangan dari Britain sehingga 1 Januari tahun depan.
Itali pula menghalang kemasukan mana-mana individu yang berada di UK dalam tempoh 14 hari dan warga Itali yang mengunjungi Britain perlu menjalani ujian.
Strain baharu itu dijumpai pada seorang individu yang baru pulang dari UK.
Negara lain yang turut mengambil langkah menyekat penerbangan dari UK adalah Belgium, Finland, Switzerland, Estonia, Latvia, Lithuania, Croatia, Macedonia, Bulgaria, Romania, Kanada, Turki, Iran, Arab Saudi, Oman, Kuwait, Argentina, Chile dan Maghribi. – Malaysiapost

