Penduduk, peniaga Napoh saman pencetus Kluster Sivagangga

0
2

PERSATUAN Pengguna Kedah (Cake) yang mewakili lebih 200 penduduk dan peniaga di Napoh tetap meneruskan saman terhadap pemilik restoran nasi kandar yang dikaitkan sebagai pencetus Kluster Sivagangga di kawasan itu pada Ogos lalu, kata Setiausahanya, Mohamad Yusrizal Yusoff.

Beliau berkata, pihaknya yang diwakili peguam Mohammad Zunun Baihakky mengambil maklum mengenai penyataan pembelaan difailkan Nezar Mohamed Shabur Batcha, 57, selaku defendan melalui firma guaman Tetuan Burhan & Company di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Alor Setar, semalam.

“Dalam penyataan pembelaannya, Nezar mendakwa, Cake selaku plaintif tidak mempunyai locus standi untuk memfailkan tindakan saman tersebut.

“Nezar menafikan apa-apa pengetahuan berkaitan kewujudan plaintif dan selanjutnya mempertikaikan hak pihak berkenaan untuk memulakan saman berkenaan,” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia.

Selain itu, katanya, Nezar juga mempertikaikan kesahihan pelantikan plaintif sebagai wakil kepada penduduk berkenaan.

“Dalam pembelaan itu, Nezar juga menyatakan turut memfailkan rayuan terhadap pertuduhan yang dijatuhkan oleh mahkamah sebelum ini.

“Kita mengambil maklum mengenai penyataan pembelaan Nezar dan akan memfailkan jawapan bagi penyataan pembelaan tersebut apabila tarikh ditetapkan mahkamah kelak,” katanya.

Pada 19 Ogos lalu, Cake mengemukakan tuntutan saman lebih RM1 juta terhadap Nezar mewakili pemilik perniagaan, pekerja dan penerima upah dari mukim Napoh dan Megat Dewa akibat terjejas dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di mukim berkenaan akibat pelanggaran Nezar terhadap perintah kuarantin selepas pulang dari India.

Nezar juga telah dikenakan denda RM12,000 dan lima bulan penjara kerana melanggar perintah kuarantin di rumah pada 13 Ogos lalu.-Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here