Ibrahim dilantik Pesuruhjaya Sukan baharu

0
1

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) mengumumkan pelantikan Ibrahim Mohd Yusof sebagai Pesuruhjaya Sukan (PJS) yang baharu berkuatkuasa hari ini hingga 20 Disember 2022.

KBS dalam kenyataan berkata, Ibrahim yang berkelulusan Sarjana Pengurusan Maklumat dan Sarjana Muda Statistik dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) mempunyai pengalaman luas dalam bidang pengurusan khasnya dalam perancangan dasar dan pembangunan sukan.

Jawatan berkenaan sebelum ini disandang oleh pensyarah kanan Universiti Malaysa, Dr Wirdati Mohd Radzi yang kontraknya berakhir pada 30 Oktober lalu.

“KBS yakin dan percaya dengan pengalaman, pengetahuan dan kredibiliti yang dimiliki oleh beliau akan dapat memperkasakan tadbir urus Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPJS) dan seterusnya memacu kecemerlangan dalam pembangunan sukan negara.

“KBS juga berharap agar semua persatuan sukan dapat memberikan kerjasama penuh kepada beliau sepanjang tempoh perkhidmatan sebagai PJS,” kata kenyataan itu.

Ibrahim memulakan kerjaya dalam perkhidmatan awam sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada tahun 1997 dan memegang pelbagai jawatan sebelum dilantik sebagai Pesuruhjaya Sukan.

Beliau yang pernah berkhidmat di KBS dengan jawatan terakhirnya sebagai Setiausaha Bahagian (Dasar dan Perancangan Strategik) terbabit secara langsung dengan Akta Pembangunan Sukan (Pindaan) 2018 (Akta A 1570).

Di samping itu, beliau turut terbabit dalam penggubalan dasar sukan termasuk penyediaan Pelan Strategik KBS dan Kertas Strategik KBS bagi Rancangan Malaysia ke-12.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here