Muda lantik Tommy Thomas, Ambiga pertimbang tindakan terhadap ROS

0
2

PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) melantik bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dan bekas Presiden Badan Peguam, Datuk Ambiga Sreenevasan untuk menangani isu pendaftaran parti itu.

Parti pimpinan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman itu mempertimbang tindakan undang-undang terhadap Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) kerana masih tidak meluluskan pendaftaran parti tersebut sejak permohonan dibuat tiga bulan lalu.

Muda menerusi kenyataan hari ini berkata, pihaknya memberi tempoh tujuh hari untuk kerajaan meluluskan pendaftaran parti mereka atau berdepan tindakan undang-undang.

“Proses pendaftaran Muda sebagai sebuah parti politik yang sah telah mula dibuat sejak 17 September 2020. Namun sehingga 21 Disember 2020, barisan Penaja MUDA masih belum menerima apa-apa perkembangan terkini berkenaan pendaftaran Muda.

“Maka, pada 21 Disember 2020, Penaja Muda bersama 100 penyokong Muda hadir ke ROS menyerahkan surat peguam untuk menuntut pendaftaran Muda sebagai sebuah parti politik sah diluluskan dengan segera.

“Hak setiap warganegara untuk membentuk persatuan telah dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan dan sebarang kelewatan dari pihak ROS telah menafikan hak ini kepada Penaja dan Penyokong Muda,” katanya.

Pada 17 September lalu, Syed Saddiq, bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) mengemukakan permohonan pendaftaran parti Muda kepada ROS termasuk menyertakan dokumen berkaitan.

Sementara itu, Muda menyatakan ia tidak sesekali menuntut untuk diberi sebarang layanan istimewa dari pihak ROS.

“Kelewatan pendaftaran Muda tidak boleh diterima sama sekali terutama apabila semua komunikasi antara ROS dan Muda tidak pun diberi alasan-alasan untuk menolak atau melengah-lengahkan pendaftaran.

“Sebagai perbandingan, pendaftaran Perikatan Nasional (PN) hanya mengambil
masa tiga hari sahaja di bawah kerajaan hari ini. Manakala, pada era kerajaan lama BN pendaftaran Bersatu mengambil masa selama 30 hari.

“Muda menyerahkan sepenuhnya isu pendaftaran parti ini kepada undang-undang negara dan mendesak pihak ROS untuk meluluskan dengan segera,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here