PARTI Amanah Negara (Amanah) menggesa segala urusan dengan Ahli Parlimen blok kerajaan atau golongan pembawa budaya politik khianat mesti dihentikan segera.
Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abd Samad berkata usaha memperkukuh Pakatan Harapan (PH) dan meningkatkan kerjasama dalam kalangan parti pembangkang adalah satu-satunya jalan menumpaskan budaya ‘politik khianat’ yang melanda negara sejak Langkah Sheraton pada 24 Februari lalu.
Katanya, rakyat dapat melihat bahawa politik khianat itu menghasilkan sebuah kerajaan lemah yang bagaikan telur di hujung tanduk dan memberi implikasi negatif terhadap suasana politik dan ekonomi negara.
Malah, beliau berkata, kerajaan yang dihasilkan lebih mementingkan persoalan survivalnya dari kebajikan dan kehidupan rakyat.
“Semua memahami pembangkang terdiri dari beberapa parti yang mempunyai asas perjuangan berbeza, namun komitmen untuk berdiri teguh berpegang pada mandat rakyat dan menolak ‘politik khianat’ adalah sangat bernilai dan wajar dihargai.
“Kebersamaan ini terbukti dengan 108 Ahli Parlimen pembangkang dengan satu suara, bersama menolak Belajawan 2021 semasa bacaan ketiga pada 15 Disember 2020.
“Amanah beranggapan jumlah 108 ini adalah asas kukuh untuk mewujudkan saf pembangkang yang mantap dan berwibawa,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Justeru, Khalid berkata menjadi tanggungjawab PH sebagai gabungan terbesar antara pembangkang untuk memimpin dan mengendalikan kerjasama secara berhemah dan berkesan.
Tegasnya, jangan kerana inginkan sokongan dari golongan pembawa budaya politik khianat atau yang kini bersekongkol dengan mereka, maka pembangkang berbalah dan berpecah.
“Adalah amat penting untuk semua memahami bahawa sokongan dari golongan pembawa atau pendokong politik khianat punya percaturan politik yang licik dengan tujuan akhirnya memecahbelahkan pembangkang.
“Oleh itu, segala urusan dengan mereka wajar dihentikan segera. Amat mustahak untuk 108 Ahli Parlimen pembangkang memperkukuh kesepaduan setiakawan kita dengan mempertegaskan kembali asas dan matlamat kita bersama dahulu, sekali gus menggamit sokongan rakyat kembali.
“Ia akan menjadi kerjasama PH Plus ini sebuah pasukan kuat memacu poltik masa depan negara,” katanya.
Beliau menambah politik gabungan atau ‘Coalition Politics’ sememangnya sukar dan memerlukan kebijaksanaan dan kesabaran yang mana setiap anggota gabungan perlu saling menghormati dan keputusan bersifat konsensus perlu diusahakan dengan jujur dan ikhlas.
“Kepentingan setiap parti perlu dipertimbangkan dengan adil, dalam ‘consensus building’ yang menjadi asas tindakan dan polisi.
“Amanah menyeru pembangkang untuk bersama dalam usaha membina satu ‘Grand Coalition’ yang berasaskan mandat lalu iaitu penolakan terhadap kleptokrasi, perkauman, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa.
“Pada masa sama Amanah komitted kepada nilai-nilai Amanah, Ketelusan, Pertanggungjawaban serta Keadilan yang selaras dengan tuntutan Islam,” katanya.
Untuk pilihan raya umum ke-15 (PRU15) yang bakal diadakan, beliau berkata biarlah golongan politik khianat itu terpaksa berhadapan dengan ‘Grand Coalition’ pimpinan PH yang jitu dan mantap, yang berpaksikan politik nilai, jujur, beramanah serta bebas rasuah and bebas khianat. – Malaysiapost

