KERAJAAN perlu menyalurkan bantuan menerusi Belanjawan 2021 pada kadar segera kepada golongan sasar khususnya kumpulan B40 yang terjejas akibat Covid-19.
Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata rakyat terutamanya golongan B40 adalah kumpulan paling terkesan dengan ketidaktentuan dan krisis ekonomi disebabkan wabak Covid-19.
Justeru, beliau berkata, kerenah birokrasi perlu dikurangkan bagi memastikan bantuan sampai kepada penerima berkelayakan.
“Anggaran Belanjawan 2021 diluluskan oleh Dewan Rakyat diikuti Dewan Negara.
“Mereka (kumpulan B40) memerlukan sokongan kewangan dari kerajaan sehingga kehidupan mereka kembali normal,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya lagi, pengagihan bantuan juga perlu dibuat mengikut saluran yang betul dan penuh integriti.
“Integriti dan sikap bertanggungjawab perlu diutamakan dalam agihan dana awam.
“Selain itu, perlu dipastikan tidak berlaku ketirisan sebagaimana pada masa lalu. Kes ketirisan hanya akan merugikan rakyat dan ia tidak sepatutnya berulang,” katanya.
Beliau berkata, usaha bersepadu mesti dijalankan bagi memastikan setiap wang dibelanjakan memberi faedah maksimum kepada rakyat miskin dan yang berkelayakan.
“Rakyat sudah lama menunggu, lagi pun kerajaan membelanjakan wang pembayar cukai. Oleh itu, mereka berhak menikmati hasil penat lelah selama ini,” katanya. – Malaysiapost

