POLIS Johor dan Selangor bekerjasama mengenalpasti tiga individu mendakwa ahli Liberation Tigers of Tamil Eelam (LTTE) yang mengugut mahu membunuh Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.
Ugutan itu diterima Ayob Khan dua minggu lalu menerusi satu panggilan telefon oleh orang awam kepada pegawainya.
Menurutnya, dari maklumat yang diterima ugutan itu dilakukan oleh tiga anggota LTTE warga tempatan yang berada di Selangor.
“Panggilan telefon itu mengatakan ada tiga orang anggota LTTE dari Selangor akan datang ke Johor untuk membunuh saya. Maklumat itu diberikan secara terperinci tiga anggota LTTE terbabit berserta alamat rumah mereka.
“Kita tengah buat siasatan dan ia sedang dijalankan. Kita juga meminta bantuan daripada Polis Selangor berhubung isu ugutan bunuh ini.
“Isu ugutan bukan isu baru bagi saya tetapi saya tidak akan ambil ringan sebarang isu ugutan sama ada kepada saya secara peribadi atau pegawai saya.
“Kita akan jalankan siasatan terperinci untuk kenalpasti suspek,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro, hari ini.
Menurut Ayob Khan, motif ugutan bunuh tidak dapat dipastikan setakat ini.
Katanya, sejak menyandang jawatan Ketua Polis Johor pada Februari lalu, dia sudah tidak terbabit dalam isu keganasan.
“Saya tidak pasti berkaitan apa isu ugutan itu kerana saya sudah meninggalkan tugas Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti-pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman sejak menyandang jawatan Ketua Polis Johor pada Februari lalu.
“Saya tidak buat isu keganasan selepas itu, saya tidak pasti mengapa, adakah mungkin kerana LTTE akan dikeluarkan dari senarai pengganas oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN), itu juga tidak dapat dipastikan.
“Mungkin ada pihak tertentu cuba memanaskan kembali isu ini,” katanya. – Malaysiapost

