KEMENTERIAN Kesihatan Singapura mengesahkan satu daripada 17 kes import Covid-19 di republik itu yang diumumkan semalam adalah lelaki Malaysia berusia 54 tahun.
Dilabelkan sebagai kes 58,629, pemegang pas lawatan jangka pendek yang tiba dari Malaysia untuk tujuan kerja, telah diasingkan semasa tiba di Singapura, menurut kementerian itu malam tadi yang dilaporkan Bernama.
Kementerian Kesihatan menyatakan lelaki itu dan 14 kes import lain tidak menunjukkan simptom namun dikesan menerusi pemeriksaan dan saringan.
Sehingga tengah hari Sabtu, republik itu melaporkan sejumlah 17 kes baharu, namun tidak membabitkan komuniti atau tinggal di asrama, menjadikan jumlah jangkitan meningkat kepada menjadi 58,403 kes.
Sehingga kini, kementerian itu mengklasifikasi 1,622 kes yang dilaporkan sebagai diimport, 2,275 sebagai kes masyarakat dan 54,506 melibatkan penduduk asrama.
Kira-kira 99 peratus atau 58,274 kes pulih sepenuhnya, sementara 38 kes masih dirawat di hospital dan tidak ada yang berada di unit rawatan rapi.
Sementara itu, 62 pesakit yang mempunyai gejala ringan atau baik secara klinikal, tetapi masih diuji positif untuk Covid-19, telah diasingkan dan dirawat.
Setakat ini, 29 kematian direkodkan akibat komplikasi jangkitan Covid-19 dengan kematian terakhir dilaporkan pada 28 November dan dua kematian pertama pada 21 Mac.
Singapura telah menutup kluster Covid-19 terakhir iaitu asrama pekerja asing pada 25 November lalu. – Malaysiapost

