JUMLAH penduduk yang dipindahkan di Terengganu terus bertambah berikutan hujan berterusan sejak malam tadi, menyebabkan beberapa kawasan rendah dan berdekatan sungai ditelenggami air.
Air pasang besar pada malam tadi menyebabkan penduduk terpaksa meninggalkan rumah selepas air naik melepasi 0.5 meter.
Statistik banjir dikeluarkan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) menunjukkan jumlah mangsa di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bertambah 172 orang, menjadikan keseluruhan penduduk terjejas banjir adalah 6,305 orang daripada 1,663 keluarga di empat daerah, Kemaman, Dungun, Hulu Terengganu dan Setiu, pagi ini.
Bilangan PPS juga bertambah daripada 47 tengah malam tadi kepada 49.
Sementara itu, Kemaman kekal sebagai daerah tertinggi bilangan mangsa yang terjejas dengan jumlah yang dipindahkan meningkat kepada 5,108 orang membabitkan 1,238 keluarga di 25 PPS.
Dungun juga mencatat peningkatan jumlah mangsa dipindahkan dengan 381 orang daripada 104 keluarga ditempatkan di 10 PPS.
Hulu Terengganu juga berlaku peningkatan jumlah mangsa apabila 805 orang dipindahkan di 13 PPS membabitkan 318 keluarga.
Setiu kekal dengan 11 mangsa daripada tiga keluarga dipindahkan di PPS Balai Raya Lama Kampung Bukit Nenas.
Sementara itu, jumlah mangsa banjir di Kelantan meningkat kepada 1,003 mangsa membabitkan 297 keluarga sehingga 8 pagi ini.
Semua mangsa ditempatkan di 24 PPS di empat daerah iaitu Kuala Krai, Tanah Merah, Pasir Mas dan Gua Musang.
Laporan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mendapati Pasir Mas mencatatkan mangsa paling tinggi iaitu 603 orang, diikuti Kuala Krai (226), Tanah Merah (161) dan Gua Musang kekal dengan 13 mangsa.
Laporan portal ebanjir Kelantan memaklumkan dua sungai melepasi paras bahaya iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang mencatatkan 10.43 meter (m) dan Sungai Kelantan di Tangga Krai iaitu 25.15 m.
Sebanyak 13 laluan ditutup membabitkan daerah Kuala Krai, Pasir Mas dan Machang berikutan dinaiki air. – Malaysiapost

