Wanita 73 tahun rugi RM61,500 ditipu kekasih Facebook

0
2

SEORANG wanita warga emas kerugian RM61,500 selepas diperdaya dengan ‘janji manis’ teman lelaki yang dikenali melalui Facebook sejak April lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata selepas menjalin cinta hampir sembilan bulan, wanita berumur 73 tahun yang menetap di Bentong, dihubungi teman lelakinya bernama Kelvin untuk meminjam RM100,000.

Menurutnya, suspek berjanji akan mengembalikan wang dipinjam.

“Mangsa yang percaya dengan janji manis lelaki terbabit memasukkan RM61,500 ke akaun bank atas nama individu lain yang diberi suspek melalui empat transaksi di sebuah bank di Bentong,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Wazir berkata, mangsa datang semula semalam ke bank berkenaan untuk memasukkan baki wang yang dipinjam suspek.

“Namun bernasib baik apabila pihak bank curiga dengan nombor akaun yang digunakan sebelum mendapati ia milik sindiket penipuan wang,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, mangsa membuat laporan di Balai Polis Bentong pada hari sama selepas menyedari ditipu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here