PRESIDEN Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dilihat calon berkelayakan mengetuai gabungan besar baharu atau ‘Grand Coalition’ parti pembangkang yang kini menjadi perdebatan hangat dalam Pakatan Harapan (PH).
Perkara itu dinyatakan penganalisis politik, Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain yang menyifatkan Mohd Shafie, bekas Ketua Menteri Sabah memiliki kriteria untuk memimpin gabungan tersebut.
Ini katanya, boleh berlaku jika semua parti pembangkang berhasrat mengadakan kerjasama baharu untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Bercakap kepada Berita Harian, Dr Mohd Izani berkata amat penting gabungan pembangkang memiliki pemimpin yang mempunyai banyak pengalaman mentadbir berbanding mereka yang hanya pandai berkata-kata dan retorik.
“Saya melihat Mohd Shafie sebagai individu yang boleh memimpin gabungan besar parti pembangkang pada PRU akan datang kerana memiliki pengalaman yang banyak di peringkat persekutuan mahupun negeri.
“Jika kita imbau ketika krisis jawatan Perdana Menteri pada awal tahun ini, Tun Dr Mahathir (Mohamad) sendiri menamakan Mohd Shafie sebagai calon Perdana Menteri jika pembangkang berjaya mendapat majoriti untuk menubuhkan kerajaan
“Jika gabungan besar baharu pembangkang itu sekadar memilih pemimpin yang kaki retorik, gabungan itu berkemungkinan besar akan menjadi seperti kerajaan Pakatan Harapan (PH) terdahulu,” katanya.
Pensyarah Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) itu tidak menafikan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih memiliki sokongan untuk memimpin pembangkang.
Namun beliau berkata, apa yang menjadi persoalan adalah siapa yang akan menggantikan posisi pemimpin utama gabungan pembangkang selepas Anwar.
“Pemilihan sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen sebagai contoh, kebiasaannya dipilih dalam kalangan parti yang memiliki kerusi paling banyak.
“Sebab itu saya katakan, selepas Anwar, DAP dilihat memiliki calon sesuai sebagai ketua gabungan pembangkang namun senario politik di Malaysia berbeza kerana sentimen Melayu itu masih menebal,” katanya.
Baru-baru ini, Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub dilaporkan berkata parti itu menyambut baik syor membentuk gabungan besar pembangkang yang dilihat sebagai teras penting sebagai persediaan menghadapi PRU15.
Beliau seterusnya mengajak semua parti pembangkang bersama-sama gabungan dalam PH untuk merealisasikan matlamat itu.
Pembentukan gabungan besar itu disarankan Timbalan Presiden Parti Pejuang Tanahair, Datuk Wira Marzuki Yahya dan Mohd Shafie.
Hari ini, Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor mengingatkan agar cadangan kerjasama pembangkang menerusi Gabungan Besar atau “Grand Coalition” tidak sama sekali melibatkan Dr Mahathir.
Ketuanya, Mohd Khairool Ngadon berkata PH sewajarnya belajar dari kesilapan lampau. – Malaysiapost

