KERAJAAN menjangka kumpulan pertama bekalan vaksin Covid-19 untuk Malaysia diperoleh pada Februari depan, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Beliau berkata perkara itu dimaklumkan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin pada mesyuarat Kabinet baru-baru ini.
“… ini adalah bekalan awal, …bekalan akan berterusan hingga penghujung 2021.
“Bekalan awal ini juga kita akan gunakan untuk barisan hadapan negara yang berdepan risiko tinggi untuk mengawal penularan Covid-19, golongan ‘vulnerable’ juga akan didahulukan,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.
Beliau berkata, kerajaan juga berusaha untuk mendapatkan bekalan vaksin Covid-19 daripada syarikat-syarikat farmaseutikal lain.
“Kerajaan sedang berusaha mendapatkan bekalan vaksin yang lebih besar bagi memenuhi keperluan (negara). Kerajaan juga akan mengikut nasihat Kementerian Kesihatan untuk mengetahui peratusan mereka yang perlu divaksin.
“Perdana Menteri turut mengarahkan supaya bekalan vaksin diperoleh segera walaupun harganya mahal demi melindungi dan menjaga keselamatan rakyat,” katanya.
Pada 24 November lalu, Malaysia mengumumkan akan mendapatkan bekalan awal 12.8 juta dos vaksin Covid-19 daripada syarikat farmaseutikal Pfizer bagi menampung keperluan imunisasi 20 peratus atau 6.4 juta rakyat secara percuma.
Penghantaran bekalan pertama sebanyak satu juta dos akan dibuat pada suku pertama tahun depan disusuli 1.7 juta (suku kedua), 5.8 juta (suku ketiga) dan 4.3 juta dos pada suku keempat tahun depan. – Malaysiapost

