MENTERI Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa menyindir Khalid Abd Samad sebagai bekas menteri yang ‘sangat rajin’ ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH).
Ia selepas Khalid yang mengetuai Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) sebelum ini, mendakwa Annuar sangat malas apabila mengurangkan jumlah agensi pihak berkuasa tempatan (PBT) di bawah kementerian itu.
Ahli Parlimen Shah Alam itu dilaporkan berkata, Annuar telah mengurangkan skop kementeriannya dengan tidak lagi menguruskan Plan Malaysia dan Jabatan Landskap Negara, sebaliknya diserah kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Menjawab dakwaan itu, Annuar berkata dua jabatan tersebut berada di bawah KPKT ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN) tetapi berlaku perebutan antara dua menteri sehingga Khalid berjaya ‘melarikan’ kedua-dua agensi ke KWP.
Di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN) pula, katanya, ada pihak yang meminta semula dua jabatan tersebut ke KPKT.
“Saya menulis surat pada KSN (Ketua Setiausaha Negara) dan Perdana Menteri untuk saya cuba jadi ‘rajin’ dengan meminta ia kekal di KWP.
“Malangnya rayuan saya tidak berjaya. Jabatan itu diarah pindah semula ke KPKT. Tak dapatlah saya jadi ‘rajin’ macam Khalid Samad,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Annuar seterusnya menyindir Khalid apabila menyatakan beliau terkenal dengan sikap “rajin” apabila menghimpunkan penduduk Kampung Baru dan tawarkan untuk membeli tanah mereka dengan harga RM1,000 satu meter persegi dan kononnya kampung itu akan dimajukan.
Bagaimanapun, Annuar mendakwa semakan dengan Kementerian Kewangan dan beberapa agensi lain mendapati tiada langsung peruntukan untuk pembelian tanah tersebut yang memerlukan dana sehingga RM8 bilion.
“Mungkin ada saudagar Arab yang nak tolong bayar saya tak tahu. Mujurnya hampir separuh pemilik tanah Kampung Baru tak bersetuju dengan tawaran Khalid. Demikianlah rajin nya Khalid Samad,” katanya.
Beliau turut menyatakan kerajinan Khalid terserlah sekali apabila sanggup menawar diri bertanding bagi jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) yang mana lazimnya menteri terdahulu “malas” dan tidak memegang jawatan itu.
Malah Annuar berkata, ketika beliau menjadi menteri dahulu tidak digalakkan memegang jawatan persatuan sukan, apa lagi zaman bola sepak profesional satu perniagaan.
“Saya dimaklumkan Khalid mengarahkan DBKL menggunakan dana RM10 juta untuk beliau belanjakan bagi urusan KLFA di mana beliau sebagai Presiden. RM5 juta sudah dibayar kepada persatuan pimpinan beliau. Demikianlah rajinnya dia.
“Saya juga difahamkan Khalid cukup “rajin” di KLFA. Terkini beliau dan KLFA dikatakan telah menjual atau JV tanah akademi bola KLFA yang dulu dianugerahkan oleh kerajaan untuk pembangunan bola sepak di Kuala Lumpur. Mungkin ia satu perniagaan bagi KLFA.
“Begitulah rajinnya Khalid Samad setakat yang saya diberitahu. Sudah tentu saya tidak mampu menyaingi kerajinannya,” katanya. – Malaysiapost

