SERAMAI 531 mangsa membabitkan 138 keluarga terpaksa berpindah pagi ini apabila banjir gelombang kedua melanda Kelantan.
Kesemua mangsa ditempatkan di 20 pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga daerah iaitu Kuala Krai, Tanah Merah dan Pasir Mas.
Menurut Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kuala Krai mencatatkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 244 diikuti Pasir Mas (154 mangsa) dan Tanah Merah (131 orang).
Sementara itu, Ketua Balai Bomba Rantau Panjang, Imran Ismail berkata, sekiranya paras sungai Sungai Golok terus menunjukkan trend menaik, besar kemungkinan ia boleh mencecah bacaan 10 meter pada awal pagi esok.
Paras air sungai tersebut kini menunjukkan peningkatan dengan bacaan 9.81 meter setakat jam 9 malam tadi.
“Banjir gelombang kedua ini kemungkinan lebih besar berbanding sebelumnya.
“Melihat kepada peningkatan air sungai yang naik dengan lebih cepat berbanding sebelumnya, selain taburan hujan tinggi bukan saja sekitar Rantau Panjang, malah di bahagian hulu sungai di Tanah Merah dan Jeli.
“Beberapa pangkalan haram sudah mula dinaiki air akibat sungai yang melimpah seperti di pangkalan haram Gergaji, Paung, Pohon Jambu dan Pos Ibrahim, menandakan air sungai di paras bahaya dengan aliran deras.
“Seperti biasa, bila paras sungai mencatat bacaan lebih sembilan meter, beberapa penempatan di kawasan rendah menerima banjir lebih awal iaitu bermula semalam,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.
Berdasarkan laporan infobanjir.water.gov.my, sebanyak dua sungai di negeri berkenaan melepasi bacaan paras amaran.
Antaranya, Kampung Manik Urai, Kuala Krai dan Sungai Kelantan di Kusial, Tanah Merah dengan bacaan 25.01 meter dan 14.91 meter.
Lima lagi sungai menunjukkan bacaan melebihi tahap berwaspada iaitu Sungai Nal serta Sungai Dabong di Kuala Krai, Sungai Kusial Baru, Tanah Merah serta Sungai Limau Kasturi, Gua Musang dan Sungai Pergau di Air Bol, Jeli. – Malaysiapost

