Jamal sedih penceroboh ‘sauk’ benih kerang di kampungnya

0
1

PIHAK berkuasa jangan tutup mata! Itu tegas Ketua Umno Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos mengenai kegiatan mengambil benih kerang oleh ‘orang luar’ di pesisir pantai Kampung Sungai Leman di Sekinchan.

Aktiviti tersebut dipercayai dilakukan oleh sekumpulan nelayan luar yang didakwa menceroboh pesisir pantai berkenaan untuk mengambil hidupan laut tersebut.

Jamal menerusi kenyataan di Facebooknya berkata insiden pengambilan benih kerang itu telah berlarutan sejak dua minggu lalu.

Beliau turut menyertakan video puluhan bot di pesisir pantai, dipercayai sedang menjalankan aktiviti mengambil benih kerang di kawasan berkenaan.

“Saya sedih melihat kejadian ini, macam mana nelayan kampung nak cari makan… kegiatan haram mengambil anak kerang oleh orang luar di pantai Kampung Sungai Leman, Sekinchan… kampung saya.

“Mana pihak berkuasa, sudah tidak ada undang-undang ke negara kita?,” katanya.

Beliau turut bertanya di mana pihak Jabatan Perikanan yang bertanggungjawab mengambil tindakan terhadap pihak berkenaan.

“Jabatan Perikanan… tutup mata. Anak kerang tersebut dijual ke Thailand. Kita nak makan kerang harga terlalu mahal,” katanya.

Sebelum ini, Malaysia Gazette melaporkan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata pihaknya tidak menerima sebarang makluman mahupun laporan polis daripada nelayan yang terjejas akibat aktiviti haram itu.

“Sekiranya pihak kami menerima laporan mengenai aktiviti mengutip kerang secara haram ini, kami akan salurkan kepada Jabatan Perikanan untuk tindakan selanjutnya.

“Setakat ini polis tidak menerima sebarang aduan mengenainya. Semua kesalahan mengutip benih kerang ini terletak di bawah bidang kuasa Jabatan Perikanan.

“Mungkin orang awam maklum perkara ini namun tidak disalurkan kepada pihak polis,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here