Isu RM550 juta Projek Rundingan Terus, PM dan Menteri Kewangan perlu jelaskan

0
2

PERGERAKAN Wira Putra Malaysia menggesa Perdana Menteri dan Menteri Kewangan memberi penjelasan berkaitan skandal Projek Rundingan Terus didakwa bernilai RM550 juta kepada rakyat.

Ketuanya, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif, berkata pihaknya telah menerima dan melihat salinan paparan skrin dan surat dari aplikasi WhatsApp Menteri di Jabatan Perdana Menteri Undang-undang, berkenaan skandal Projek Rundingan Terus yang melibatkan keluarga Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Selain itu, katanya, turut terlibat pengaturan tersebut dikatakan adalah Menteri Wilayah Persekutuan dan turut disebut nama anak kepada Perdana Menteri.

“Hal seperti ini yang mencemar kemurnian politik tanah air apabila seseorang yang menjadi pemimpin politik berkehendakkan terhadap sesuatu hingga lupa amanah yang dipikul tidak boleh terkait dengan apa jua kepentingan peribadi.

“Rakyat pada ketika ini terbeban dengan kurang pendapatan hingga ada yang kehilangan kerja.

“Yang muda mungkin masih mampu mencari jalan, namun yang berusia 40-an ke atas akan mengalami kesukaran memperoleh pekerjaan. Nak minta keluar KWSP sendiri pun punyai syarat ketat dan kena lalui proses panjang.

“Tapi pemimpin kerajaan Perikatan Nasional (PN) boleh pula dapat projek rundingan terus yang silap-silap keuntungannya tujuh keturunan tak habis makan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Justeru, beliau berkata, Wira PUTRA menggesa Perdana Menteri dan Menteri Kewangan tampil memberi penjelasan berkenaan skandal tersebut yang dianggar sekitar RM550 juta kepada awam.

“Jika ia adalah sabotaj atau tuduhan fitnah semata-mata, sila buat laporan polis ke atas mereka yang menularkannya.

“Jika tidak, jelas sikap pemimpin politik kerajaan PN saling tak tumpah dengan pemimpin-pemimpin politik kerajaan sebelumnya yang sentiasa mengkayakan anak-beranak,” katanya.

Beliau juga meminta pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar memandang serius berkenaan hal terbabit. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here