Harimau Malaya kembali ke padang latihan 15 Januari

0
2

SKUAD Harimau Malaya dijangka kembali ke padang untuk sesi latihan pusat bermula 15 hingga 26 Januari depan, kata Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Stuart Ramalingam.

Katanya, ia sebagai persediaan menghadapi baki tiga perlawanan Kumpulan G pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang bakal bersambung pada Mac 2021.

Beliau memaklumkan pengendali skuad kebangsaan Tan Cheng Hoe dijangka menyenaraikan 30 pemain bagi sesi latihan itu di Wisma FAM, Kelana Jaya, yang menjadi medan penting membentuk keserasian antara pemain lama dan baharu.

Beliau juga mengesahkan skuad kebangsaan bakal diuji oleh pasukan ranking ke-97 dunia, Bahrain pada aksi persahabatan di Manama pada awal Mac.

Disusuli kunjungan ke Abu Dhabi untuk berdepan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada perlawanan keenam pusingan kedua kelayakan pada 25 Mac.

“Pada sesi latihan itu, Cheng Hoe akan cuba beberapa pemain baharu dan lihat kesesuaian mereka dengan percaturan beliau untuk baki pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada Mac tahun depan,” katanya selepas mesyuarat rakan kongsi Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) keempat semalam.

Skuad Harimau Malaya sepatutnya mengharungi aksi timbal balik pusingan kedua kelayakan Kumpulan G dengan bertandang ke UAE pada 8 Oktober 2020 sebelum menerima kunjungan Vietnam pada 13 November, disusuli bertemu Thailand pada 17 November di Bangkok.

Namun, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), menangguhkan baki aksi kempen tersebut kepada Mac 2021 susulan penularan Covid-19.

Malaysia kini menduduki tangga kedua Kumpulan G menerusi sembilan mata selepas lima perlawanan hasil tiga kemenangan dan dua kekalahan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here