Nurul Huda Abhar
KEMENTERIAN Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) memandang serius terhadap pelanggaran Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja (Pindaan) 2019 (Akta 446) melibatkan kemudahan kediaman bagi pekerja asing.
Menterinya, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, pelanggaran akta berkenaan melibatkan beberapa syarikat sarung tangan getah dan perabot yang didapati tidak mematuhi peraturan seperti ditetapkan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM).
“Akta 446 bertujuan untuk menambah baik Garis Panduan Penginapan Pekerja Asing 2018 yang meliputi standard ruang minimum kediaman, kemudahan asas bagi rumah dan pekerja selain elemen keselamatan serta kebersihan yang perlu diberi perhatian oleh pihak majikan.
“Pematuhan terhadap akta berkenaan juga amat kritikal bagi sektor perladangan dan industri komoditi bertujuan memberi keyakinan kepada pihak antarabangsa bahawa kerajaan Malaysia serius dalam usaha menangani isu buruh paksa dan buruh kanak-kanak yang didakwa berlaku di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Dr Mohd Khairuddin, KPPK juga memberi peringatan kepada semua pihak yang terlibat dalam sektor perladangan dan industri komoditi agar sentiasa patuh kepada undang-undang termasuk berkaitan Akta 446 bagi memastikan kebajikan pekerja sentiasa dititikberatkan.
Tambahnya, pihaknya dengan kerjasama pelbagai kementerian dan agensi berkaitan akan terus menyokong serta membantu sektor perladangan dan industri komoditi dalam mengamalkan sistem perburuhan yang baik.
Sebelum ini, JTKSM dalam kenyataan memaklumkan akan mengambil tindakan mahkamah terhadap pengeluar sarung tangan Top Glove dan beberapa syarikat lain yang didapati melanggar peruntukan membabitkan penyediaan perumahan kepada pekerja masing-masing.
Syarikat berkenaan didapati melanggar peruntukan terhadap Akta Standard Minima Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).
Ketua Pengarah JTKSM, Asri Ab Rahman berkata, syarikat itu berdepan 63 pertuduhan daripada 21 kertas siasatan sudah dibuka sejak akta itu dikuatkuasa September lalu, bagi menyiasat ketidakpatuhan terbabit, meliputi pelbagai subsektor ekonomi.
Tambahnya, sebanyak 19 kertas siasatan dibuka membabitkan enam kumpulan syarikat Top Glove dan pihaknya akan mengambil tindakan lanjut merujuk kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya. – Malaysiapost

