SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) akur dengan pengumuman pengisytiharan Proklamasi Darurat membabitkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya di Sabah dan Parlimen Gerik di Perak.
Pengerusinya, Datuk Abdul Ghani Salleh, memaklumkan apa-apa prosiding yang sudah dimulakan bagi tujuan Pilihan Raya Kecil (PRK) di kedua-dua kawasan itu tidak akan diteruskan.
Melalui kenyataan hari ini, beliau berkata suatu tarikh lain akan ditetapkan bagi kedua-dua PRK itu, selari dengan pengisytiharan Proklamasi Darurat di Gerik dan Bugaya.
“SPR akur dengan keputusan dan kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dengan pengisytiharan Proklamasi Darurat berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.
“Ia bagi membolehkan suatu ordinan dimasyhurkan di bawah Fasal (2B) Perkara 150 untuk membatalkan tarikh ditetapkan bagi menjalankan PRK Parlimen Gerik dan DUN Bugaya selepas diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah,” katanya.
Terdahulu, Al Sultan Abdullah
bersetuju mengisytiharkan darurat bagi Bahagian Pilihan Raya Parlimen Gerik, Perak dan Pilihan Raya Negeri Bugaya, Sabah.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata beliau terlebih dahulu menyembah maklum akan nasihat Jemaah Menteri kepada Agong dan baginda berkenan mengisytiharkan darurat bagi kedua-dua Pilihan Raya Kecil (PRK) berkenaan.
Sebelum ini, SPR menetapkan PRK Parlimen Gerik dan DUN Bugaya diadakan serentak pada 16 Januari 2021.
Kedua-dua kerusi itu kosong susulan kematian penyandang iaitu Ahli Parlimen Gerik, Allahyarham Datuk Hasbullah Osman (Barisan Nasional) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bugaya, Allahyarhamah Datin Manis Muka Mohd Darah daripada Parti Warisan Sabah (Warisan).
Hasbullah meninggal dunia akibat sakit jantung di Raub, Pahang, pada 16 November lalu. Beliau memenangi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dengan majoriti 5,528 undi.
Sementara itu, Manis Muka, 65, meninggal dunia akibat masalah buah pinggang di Hospital Gleneagles, Kota Kinabalu pada 17 November lalu.
Beliau mempertahankan kerusi DUN Bugaya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 Oktober lalu dengan majoriti 6,005 undi, mengatasi enam pencabarnya. -Malaysiapost

