Kebersamaan PH dengan MB Perak bukti kematangan politik – Kor Ming

0
1
KUALA LUMPUR, 25 Mac -- Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Nga Kor Ming menjawab pertanyaan para pengamal media pada persidangan Parlimen di Bangunan Parlimen hari ini. --fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

TIMBALAN Setiausaha Agung DAP, Nga Kor Ming menyifatkan kebersamaan Pakatan Harapan (PH) dengan Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad hari ini, berjaya mencapai beberapa kata sepakat demi perubahan ‘institutional reform’ di negeri itu.

Ahli Parlimen Teluk Intan itu berkata, ia
demi menjunjung kasih dan mendengar nasihat daripada Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah.

“Hari ini dalam sejarah, demi kepentingan rakyat dan kestabilan politik negeri dan juga demi mengangkat martabat agenda reformasi dalam negeri ini, maka pihak PH bersama dengan Menteri Besar Perak yang baru dilantik telah mencapai beberapa kata sepakat.

“Ia termasuk dalam beberapa perkara penting sebagai perubahan dalam negeri kita yang tercinta ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, buat pertama kali dalam sejarah negara, semua 59 Adun Perak diberi peruntukan yang sama sebanyak RM200,000 setahun bagi memberikan khidmat yang terbaik kepada pengundi-pengundi.

“Yang kedua, kedua-dua pihak juga mencapai kata sepakat setiap ahli DUN termasuk pembangkang akan menjadi anggota tetap dalam Jawatankuasa Tindakan Daerah (JKT) buat pertama kali dalam sejarah,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, selain itu semua Adun termasuk dari pembangkang akan dijemput menyertai Focus Group Daerah dan juga Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah.

“Ini semua merupakan sejarah baru dan menonjolkan kematangan berpolitik daripada pihak PH bersama menteri besar yang baru dilantik.

“Yang keempat adalah di mana sebagai kerajaan yang adil dan saksama, serta bagi tujuan semak dan imbang, kerajaan negeri juga bersetuju untuk meminda Perintah Tetap DUN.

“Iaitu memberikan pengiktirafan rasmi kepada jawatan ketua pembangkang dengan gaji, elaun, emolumen dan kemudahan yang munasabah supaya institusi ketua pembangkang dapat memainkan peranan semak dan imbang secara efektif,” katanya.

Selain daripada itu, katanya, perkara yang kelima ialah kerajaan negeri juga telah bersetuju untuk pemindah Perintah Tetap DUN supaya pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negeri akan dilantik daripada kalangan wakil pembangkang.

“Demi memelihara kerharmonian rakyat negeri yang berpegang dengan pelbagai kepercayaan agama, peruntukan untuk hal-ehwal Islam dan bahagian hal-ehwal bukan Islam juga dikekalkan di dalam belanjawan negeri.

“Sekiranya ada keperluan, peruntukan ini bolehlah ditambah kelak,” katanya.

Baiu berkata, perkara yang ketujuh adalah, demi kesejahteraaan masyarakat majmuk, peruntukan untuk SJKC, SJKT, Sekolah Mulbaligh dan juga aliran sekolah yang lain akan diberikan peruntukan yang adil, dan peruntukan tahun ini dikekalkan.

“Saya rasa kesemuanya ada lapan perkara. Kebanyakan merupakan satu perubahan yang positif bagi menyeburkan sistem demokrasi berparlimen negeri yang kita cintai.

“Ini adalah kata sepakat yang telahpun dipersetujui demi kesejahteraan dan kepentingan rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, PH akan terus memainkan peranan efektif dalam semak dan imbang.

“Kita akan terus memainkan peranan penting untuk memainkan peranan semak dan imbang yang konstruktif terhadap kerajaan.

“Mana-mana salahlaku, penyeleweng turut akan ditegur. Itu tiada kompromi,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here