Dr Mahathir dakwa penjenayah ‘hidup bebas’ bawah PN

0
1

BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata negara akan menyaksikan ‘penjenayah’ bebas menikmati kehidupan tanpa hukuman berdasarkan ‘Rule of Law’ kerajaan ketika ini.

Menurut Ahli Parlimen Langkawi itu, kedaulatan undang-undang kini dicabuli berdasarkan beberapa kes rasuah berprofil tinggi membabitkan ahli politik digugurkan sejak kebelakangan ini.

Beliau berkata, salah satu daripada hal berkaitan demokrasi adalah kerajaan dan rakyat tertakluk kepada Kedaulatan Undang-Undang.

Namun, menurutnya, kini undang-undang digunakan untuk membuat perkara yang tidak melambangkan demokrasi.

“Sebagai contoh, rakyat memilih kerajaan menerusi pilihan raya, namun kerajaan dipilih rakyat digantikan dengan kerajaan yang ditumbangkan. Yang kalah memimpin, yang menang membangkang.

“Kamu rasa ia salah, tapi menurut undang-undang ia sah,” katanya menerusi laman blognya Chedet.cc hari ini.

Dr Mahathir turut mengaitkan tiga kes yang dilaporkan menerusi media baru-baru ini sebagai contoh tanpa menamakan mana-mana individu yang terbabit.

“Sekali lagi, ia benar-benar sah dan mengikut undang-undang.

“Mungkin tidak lama lagi, seseorang yang disabitkan mencuri jutaan wang kerajaan akan diampuni. Ini juga adalah mengikut undang-undang,” katanya.

Di era pemerintahan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, tuduhan rasuah terhadap bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman digugurkan oleh pendakwa raya.

Jabatan Peguam Negara juga bersetuju mencapai penyelesaian berhubung kes pengubahan wang haram berkaitan dana 1MDB terhadap bekas pembuat filem Hollywood, Riza Aziz dan mengugurkan tuduhan terhadapnya.

Terbaharu, pihak pendakwa raya juga mengugurkan tuduhan terhadap bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor kerana menerima suapan RM1 juta. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here